Viral

Alamat Rumah, Hotel & Jadual Penerbangan Artis K-pop Didakwa Dijual Dalam Talian

Maklumat peribadi artis K-Pop kini didakwa dijual secara haram di media sosial, termasuk butiran penerbangan, nama hotel dan alamat rumah artis terkenal seperti BTS, SEVENTEEN, NCT 127, TXT dan TWS.

Baru-baru ini, dua wanita dilaporkan menceroboh kediaman kumpulan lelaki CORTIS. Ketika disoal siasat polis, mereka mendakwa memperoleh alamat kumpulan itu selepas membelinya secara dalam talian.

Penjual maklumat peribadi ini dikatakan mudah ditemui di platform seperti X. Selepas pembeli berminat, urusan jual beli akan diteruskan melalui aplikasi sembang peribadi seperti Telegram atau WeChat.

Agensi Big Hit Music kini giat melaporkan akaun-akaun yang terlibat kepada pihak polis. Namun, usaha membanteras kegiatan tersebut bukanlah mudah kerana kebanyakan akaun beroperasi di platform luar negara, selain proses mengesan identiti individu terbabit mengambil masa.

Laporan turut mendakwa kebocoran maklumat peribadi ini sering berpunca daripada kakitangan syarikat penerbangan atau hotel yang mempunyai akses kepada data pelanggan.

Pakar berpendapat syarikat-syarikat terbabit perlu memperketatkan sistem keselamatan bagi melindungi maklumat pelanggan, selain memperkukuhkan kerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa untuk membanteras kegiatan itu secara menyeluruh.

Related Articles

Back to top button