Wanita Dakwa Bos Suruh Selfie Lepas Bersalin, Paksa Beri Bukti Masih Di Hospital

Seorang wanita berkongsi pengalaman pahit melibatkan bekas majikannya yang didakwa berulang kali meminta bukti bergambar ketika dia masih dirawat di hospital selepas melahirkan anak.
Menurut wanita itu, majikannya didakwa memintanya menghantar swafoto bersama bayi yang baru dilahirkan sebagai bukti bahawa dia benar-benar dimasukkan ke hospital.
Katanya, suaminya telah pun menghantar gambar kad maklumat bayi yang memaparkan nama ibu serta tarikh kelahiran.
Namun, dakwanya, majikan tersebut masih tidak berpuas hati dan terus meminta bukti tambahan.
“Bos saya terus mendesak saya hantar swafoto bersama bayi. Lepas itu saya diminta buka fail doktor dan ambil gambar sebagai bukti saya memang dimasukkan ke wad.
“Tak boleh ke tunggu saya keluar hospital dulu?” tulisnya, meluahkan rasa kecewa terhadap layanan yang diterimanya.
Wanita itu kemudian menghantar gambar dirinya memakai pakaian pesakit hospital berwarna merah jambu bercorak polka dot.
Namun, menurut laporan mStar, majikannya masih meminta supaya dia menghantar swafoto bersama bayinya.
Lebih mengecewakan, wanita itu mendakwa kontrak pekerjaannya yang berakhir pada 30 Oktober tidak disambung walaupun dia telah memberikan semua bukti yang diminta.
Difahamkan, dia melahirkan anak sulungnya sehari sebelum itu, iaitu pada 29 Oktober.
Wanita berkenaan menyifatkan kejadian tersebut sebagai antara detik paling sukar dalam hidupnya kerana terpaksa berdepan tekanan daripada tempat kerja ketika masih dalam proses pemulihan selepas bersalin.
Perkongsiannya mengundang kemarahan ramai netizen yang mempersoalkan mengapa seorang pekerja yang baru melahirkan anak perlu melalui layanan sedemikian.
Ada yang berpendapat majikan tersebut mungkin sengaja mencari alasan untuk tidak menyambung kontraknya.
“Macam mana orang macam ini boleh jadi bos? Kalau pekerja meninggal dunia pun, agaknya dia akan suruh pekerja itu sendiri tunjuk sijil kematian,” kata seorang netizen.
Seorang lagi netizen turut berkongsi pengalaman hampir sama apabila mendakwa majikannya pernah meragui kematian ahli keluarganya dan meminta bukti bergambar jenazah.
Ramai menegaskan bahawa majikan sepatutnya menunjukkan rasa empati terhadap pekerja, lebih-lebih lagi ibu yang baru melahirkan anak dan memerlukan masa yang mencukupi untuk pulih dari segi fizikal serta emosi.
Foto janaan Google Gemini



