Lelaki Ini Tetak Wanita Gemuk Sebab Mahu Jadi Satu-Satunya Individu Berbadan Besar

Seorang lelaki yang ditahan kerana disyaki menetak seorang wanita di Bangkok pada 27 Jun lalu mendakwa dia melakukan perbuatan tersebut kerana tidak menyukai individu berbadan besar.
Pengakuan tersebut dikongsikan oleh pihak polis, menurut laporan Khaosod.
Lelaki berusia 30 tahun yang dikenali sebagai Etsana dan dipercayai seorang gelandangan itu didakwa menyerang mangsa menggunakan pisau pemotong jenis box cutter sepanjang 23 sentimeter, lapor Bangkok Post.
Dia kemudian ditahan polis dan didakwa atas kesalahan menyebabkan kecederaan.
Mangsa, seorang wanita warga Vietnam, sedang berjalan di kaki lima sekitar jam 11.30 pagi sebelum diserang secara tiba-tiba, menurut laporan The Thaiger.
Selepas kejadian, suspek melarikan diri dari lokasi sebelum pengurus sebuah kedai serbaneka berhampiran menghubungi pihak polis.
Mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sebelum hadir ke balai polis untuk membantu mengenal pasti suspek.
Polis berjaya mengesan Etsana menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan sebelum menahannya dan merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam serangan sebagai bahan bukti.
Ketika disoal siasat, Etsana dilaporkan mengaku melakukan serangan itu.
Dia mendakwa menyerang mangsa kerana tidak suka orang berbadan besar.
Menurut The Thaiger, suspek turut mendakwa dia tidak mahu orang lain berbadan besar dan mahu dirinya menjadi ‘satu-satunya’ individu sedemikian.
Ironinya, lelaki itu sendiri dilaporkan mempunyai berat badan sekitar 120 kilogram.
Dia juga memberitahu polis bahawa dia berasa marah apabila melihat wanita berbadan besar itu berjalan melintasinya, sebelum bertindak menyerang mangsa.
Beberapa penduduk di kawasan tersebut turut mendakwa Etsana pernah menyerang wanita berbadan besar dalam beberapa kejadian lain sebelum ini.



