Ahlong Tersilap Rumah, Warga Emas Rugi Selepas Kediaman dan Kereta Dibakar

Seorang wanita berusia 70 tahun di Johor berdepan detik cemas apabila rumah dan keretanya dibakar selepas along didakwa tersalah menyangka keluarganya sebagai peminjam yang mempunyai hutang tertunggak di Singapura.
Menurut laporan Sin Chew Daily, kejadian itu berlaku pada 11 Jun ketika wanita tersebut, yang dikenali sebagai Lin Xiuyu, berada di Pulau Pinang bersama anak-anak perempuannya.
Keluarga itu dimaklumkan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 5 pagi selepas menerima panggilan daripada seorang jiran yang memberitahu rumah mereka telah dibakar.
Satu nota tuntutan hutang juga didakwa ditinggalkan di lokasi kejadian, mengandungi amaran bahawa rumah berkenaan akan dibakar sekiranya bayaran tidak dibuat.
Ketika bercakap dalam satu sidang media, anak wanita tersebut, Chen Lifen, berkata keluarganya terkejut kerana tidak pernah meminjam wang daripada ahlong.
“Masalahnya, kami tidak berhutang dengan sesiapa dan tidak pernah meminjam wang daripada ahlong,” katanya.
Selepas pulang ke rumah, keluarga itu berbincang dengan seorang jiran yang mengaku pernah meminjam S$1,800 (RM5,768) daripada ahlong di Singapura.
Menurut Chen, jiran tersebut mendakwa gagal melunaskan hutang mengikut tempoh ditetapkan selepas akaun banknya dibekukan.
Keluarga itu kemudian mendapatkan bantuan daripada pegawai Biro Aduan Awam Negeri Johor, Lim Dao Xiang.
Selepas menghubungi individu yang meninggalkan nota tuntutan hutang tersebut, Lim berkata pihak ahlong mengakui seorang ‘runner’ mereka tersilap mengambil gambar rumah dan kenderaan yang salah.
Akibat kesilapan itu, keluarga yang tidak mempunyai kaitan dengan hutang tersebut menjadi sasaran.
Pihak ahlong dilaporkan telah memohon maaf dan berjanji tidak akan mengganggu keluarga berkenaan lagi.
Chen berkata, ibunya biasanya tinggal bersendirian di rumah tersebut dan mungkin mengalami kecederaan serius sekiranya berada di rumah ketika kejadian berlaku.
Dia menambah jiran-jiran berjaya memadamkan kebakaran sebelum api merebak dengan lebih teruk.
Menurut keluarga itu, kebakaran bermula berhampiran tangki minyak kereta mereka.
“Jika api tidak dipadamkan dengan segera, ia mungkin menyebabkan letupan dan keseluruhan deretan rumah boleh terbakar,” katanya.
Chen menambah, penduduk di kawasan tersebut kini bimbang mereka mungkin menjadi mangsa insiden serupa pada masa hadapan.
Dia turut menganggarkan kerosakan yang dialami kenderaan keluarga itu mungkin melebihi RM20,000.
Sementara itu, Lim mengingatkan orang ramai yang menerima nota tuntutan hutang daripada along supaya tidak menghubungi nombor telefon yang tertera pada nota berkenaan kerana tindakan itu boleh mendedahkan maklumat peribadi kepada sindiket jenayah.
Dia juga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemberi pinjam wang haram yang menggunakan ugutan dan perbuatan khianat seperti membakar harta benda untuk menuntut hutang.



