Didakwa Terpalit Beberapa Isu Panas, Azad Jazmin Nafi Digantung Tugas

Penyampai radio dan pelakon, Azad Jazmin, 50, menafikan dakwaan kononnya dia direhatkan atau digantung tugas daripada stesen radio Era FM susulan beberapa isu yang mengaitkan namanya sejak kebelakangan ini.
Azad Jazmin atau lebih dikenali sebagai Pak Azad, menjelaskan ketiadaannya di konti selama lebih seminggu hanyalah kerana mengambil cuti panjang yang telah dirancang lebih awal bagi meluangkan masa bersama keluarga.
Menurutnya, cuti tersebut kebetulan diambil selepas anak perempuannya, Amarra, tersingkir daripada program realiti Talk To My Manager 2 (TTMM2).
“Perkara itu sebenarnya hanya salah faham. Saya mengambil cuti yang memang sudah lama dipohon.
“Saya bercuti panjang dan kebetulan Amarra sudah tersingkir daripada TTMM2, jadi kami mengambil peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga.
“Pagi ini saya sudah kembali bertugas seperti biasa. Tiada sebarang masalah dan ia langsung tidak berkaitan dengan mana-mana isu yang diperkatakan.
Dalam perkembangan sama, Pak Azad turut menegaskan isu berkaitan flat Rohingya yang pernah tular sebelum ini tidak memberi sebarang kesan negatif terhadap kerjaya mahupun kedudukannya di stesen radio berkenaan.
Malah, menurutnya, perkara itu telah disalah tafsir oleh segelintir pihak sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.
“Sebenarnya isu itu tidak ada kaitan seperti yang diperkatakan. Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua juga mengucapkan terima kasih kepada saya,” ujarnya seperti dilapor Mstar.
Sebelum ini, ketiadaan Pak Azad dalam segmen 3 Pagi Era sejak minggu lalu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pendengar setia stesen tersebut.
Ramai netizen meluahkan rasa hairan apabila slot pagi yang lazimnya dikendalikan Pak Azad bersama Nabil Ahmad dan Radin diisi oleh personaliti lain.



