“Ada Lelaki Mahu Jadikan Saya Isteri Ketiga, Saya Tiada Masalah Dengan Poligami”

Penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir mendedahkan dia pernah menerima tawaran untuk menjadi isteri kedua dan ketiga, namun menolak pelawaan tersebut kerana tidak mahu terlibat dalam hubungan yang disorokkan daripada isteri pertama.
Menurut pemilik nama sebenar Faradina Mohd. Nadzir, meskipun ramai menganggap isu poligami sebagai sesuatu yang sensitif, dia secara peribadi tidak pernah mempunyai pandangan negatif terhadap perkara itu sejak kecil lagi.
Katanya, status sebagai isteri kedua, ketiga atau keempat bukanlah isu besar sekiranya sesebuah perkahwinan itu dibina atas dasar kejujuran, keterbukaan dan persetujuan semua pihak yang terlibat.
“Mungkin ini sedikit kontroversi, tetapi sejujurnya bagi saya, jodoh datang lambat tidak mengapa. Jodoh nombor dua, tiga atau empat pun tidak mengapa.
“Saya tiada masalah dengan poligami sejak kecil lagi. Itu yang buat ayah saya risau. Tetapi semua itu perlu telus,” katanya dalam sebuah podcast.
Mengimbas pengalaman lalu, Dina berkata dia pernah didatangi lelaki yang mahu menjadikannya sebagai isteri kedua, namun meletakkan satu syarat yang tidak dapat dipenuhi.
“Pernah ada lelaki mahu jadikan saya isteri kedua dan ketiga. Saya cakap, ‘baik, tetapi awak perlu kenalkan saya dengan isteri pertama awak.’
“Namun dia tidak mahu. Dia kata kahwin dahulu baru kenalkan. Saya terus tolak,” ujarnya.
Tambah Dina, dia tidak sanggup menjalinkan hubungan secara sembunyi kerana percaya kepercayaan hanya boleh dibina melalui sikap jujur dan berterus terang.
“Perkara ini mesti telus. Saya sendiri jenis telus. Kalau orang tanya, saya jawab terus.
“Saya tidak pandai menipu. Kalau hendak menipu, kena rancang siap-siap, tulis skrip pun mungkin,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Dina menegaskan dia sentiasa menjaga batas pergaulan terutama apabila melibatkan lelaki yang sudah berumah tangga.
Malah, dia mempunyai prinsip tersendiri apabila berkawan dengan lelaki berstatus suami orang, iaitu turut menghormati dan mengenali pasangan mereka.
“Saya tidak kisah, tetapi saya tidak akan menyondol. Kalau dia suami orang, saya tahu jaga batas.
“Saya bekerja dalam persekitaran ramai lelaki beristeri, jadi saya faham had pergaulan.
“Kalau saya berkawan dengan seorang lelaki, saya juga perlu berkawan dengan isterinya. Itu prinsip saya,” jelasnya.



