Viral

Lelaki Didakwa Dijangkiti ‘Kencing Tikus’ Selepas Makan Ayam Gepuk

Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi di Threads bagaimana keadaan adik lelakinya yang berusia 26 tahun didakwa berubah daripada sekadar muntah dan cirit-birit kepada disahkan positif leptospirosis atau lebih dikenali sebagai kencing tikus.

Menurut wanita tersebut, adiknya dipercayai makan ayam gepuk sebelum mula mengalami muntah dan cirit-birit selama dua hari. Pada satu ketika, dia mendakwa adiknya terjatuh di bilik air pada awal pagi dan tidak mampu bangun sendiri.

Disebabkan kejadian itu berlaku sekitar jam 4 hingga 5 pagi, tiada ahli keluarga yang menyedarinya.

“Dia merangkak balik masuk bilik dan cakap dia okay,” tulisnya.

Namun, keadaan menjadi semakin membimbangkan keesokan paginya apabila adiknya dikatakan mengalami demam dan pengsan sekali lagi di bilik air. Ujar wanita itu, adiknya menggigil, mengalami kebas seluruh badan, muntah serta cirit-birit pada masa sama.

Bimbang dengan keadaannya, keluarga kemudian membawanya ke bahagian kecemasan hospital. Menurutnya, mereka dimaklumkan bahawa badan adiknya kekurangan garam sebelum dibenarkan pulang pada malam tersebut.

Bagaimanapun, dua hari kemudian, keadaan adiknya didakwa masih tidak berubah apabila dia masih mengalami demam, cirit-birit dan muntah.

Wanita itu berkata, mereka pada awalnya bercadang membawa adiknya ke klinik kerajaan untuk mendapatkan cuti sakit. Namun, adiknya ketika itu sudah terlalu lemah sehingga tidak mampu berdiri dengan baik.

Di klinik tersebut, dia dilaporkan dipasang air drip kerana mengalami dehidrasi selain diberikan antibiotik.

Dalam kemas kini seterusnya, wanita itu berkata keluarga mereka membawa adiknya ke klinik swasta selepas menyedari telinganya kelihatan kemerahan.

Ujian darah kemudian dilakukan dan klinik tersebut didakwa mendapati bacaan platelet darahnya terlalu rendah. Susulan keputusan tersebut, mereka dinasihatkan kembali ke bahagian kecemasan untuk pemeriksaan lanjut.

Di sana, doktor dikatakan meminta beberapa ujian tambahan termasuk ujian leptospirosis yang akhirnya menunjukkan keputusan positif.

Wanita itu berkata, dia tidak pasti cawangan mana adiknya makan di cawangan ayam gepuk, namun menasihatkan orang ramai yang gemar menikmati ayam gepuk supaya lebih berhati-hati.

Dia turut menjelaskan adiknya membasuh sendiri peralatan makan di rumah sebelum makan, sekali gus menyebabkan punca sebenar jangkitan masih belum dapat dipastikan.

Walaupun perkongsian itu menimbulkan kebimbangan ramai, penting untuk diingatkan bahawa dakwaan tersebut adalah berdasarkan pengalaman peribadi wanita berkenaan.

Foto: Janaan Google Gemini

Related Articles

Back to top button