Rumah Tangga Julia Farhana & Che Hafiz Masih Aman, Nafi Sedang Bergolak

Suami kepada pelakon Julia Farhana iaitu Dr Che Muhammad Hafiz tampil menjelaskan spekulasi yang mendakwa rumah tangga mereka sedang bermasalah.
Menurut Che Hafiz, segala dakwaan yang timbul termasuk isu beraya berasingan dan tidak lagi saling mengikuti di media sosial adalah tidak benar, sebaliknya hubungan mereka berada dalam keadaan baik.
“Dalam rumah tangga, perkara seperti pasang surut itu perkara biasa. Tiada pasangan yang terlepas daripada ujian.
“Tapi apa yang boleh saya katakan, kami okey sahaja. Tiada sebarang masalah besar seperti yang diperkatakan,” katanya.
Mengulas dakwaan kononnya mereka menyambut Aidilfitri secara berasingan, Che Hafiz menjelaskan perkara itu hanya salah faham.
“Kami memang beraya bersama, cuma tidak berkongsi gambar di media sosial. Itu sahaja,” jelasnya.
Ditanya mengenai gosip yang mengatakan mereka tinggal berasingan, Che Hafiz memilih untuk tidak mengulas lanjut, namun menegaskan hubungan mereka kekal seperti biasa.
Dalam pada itu, Che Hafiz turut berkongsi bahawa mereka mengambil pendekatan matang dalam berdepan spekulasi yang bertebaran.
“Setiap perkara yang timbul pasti ada pro dan kontra. Kalau kami ambil ringan, nanti nampak seperti tidak serius pula.
“Jadi kami pilih untuk lihat dari sudut positif. Kadang-kadang apa yang kita kongsikan di media sosial boleh disalah tafsir oleh orang lain,” ujarnya.
Terdahulu, pasangan ini menjadi perhatian apabila timbul dakwaan mereka tidak menyambut Aidilfitri bersama selain tidak lagi saling mengikuti akaun Instagram masing-masing.
Malah, perkongsian foto raya oleh Che Hafiz yang hanya memaparkan dirinya bersama ibu tanpa kelibat Julia turut mengundang persoalan dalam kalangan netizen.
Untuk rekod, Julia dan Che Hafiz mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2022.
Sebelum itu, Dr Che Hafiz pernah berkahwin dengan pelakon Lufya dan dikurniakan seorang cahaya mata, Laana Haura, sebelum berpisah pada 17 Jun 2020.



