Viral

Lelaki China Sentuh Pramugari MAS Dihalau Keluar Dari Pesawat

Seorang penumpang penerbangan Malaysia Airlines diiring keluar dari pesawat oleh pihak keselamatan selepas didakwa menyentuh seorang pramugari.

Insiden tersebut berlaku di Kuala Lumpur, sebelum pesawat berlepas ke Beijing pada 8 April lalu.

Menerusi rakaman video yang viral, satu pertengkaran tercetus, di mana lelaki itu mempersoalkan sama ada tindakannya salah.

“Saya cuma tepuk ringan dua kali, dan awak tak benarkan saya naik pesawat?” katanya kepada pramugari yang didakwa sebagai mangsa gangguan penumpang berkenaan.

“Itu dianggap ringan?” balas pramugari tersebut, sambil menegaskan dia tidak dibenarkan meneruskan penerbangan kerana sikapnya yang sukar dikawal.

Ketika masih duduk di tempatnya, penumpang itu meninggikan suara sambil mempertikaikan tuduhan terhadapnya.

“Ini dikira gangguan seksual? Di Singapura pun ini tak dikira gangguan seksual, betul?” soalnya.

Pramugari itu kemudian meminta agar dia menghormati peraturan yang ditetapkan.

Apabila dia sekali lagi bertanya sama ada tindakannya dikira sebagai gangguan seksual, pramugari tersebut menjawab perkara itu adalah penilaiannya sebagai mangsa.

Dia kemudian memaklumkan pihak lapangan terbang tidak membenarkannya meneruskan penerbangan tersebut.

Penumpang itu berulang kali menegaskan bahawa perkara itu ‘bukan masalahnya’, dan menyatakan dia diminta menukar penerbangan akan menyusahkan dirinya.

Dia juga meminta untuk melihat rakaman CCTV bagi membuktikan dirinya tidak bersalah. Pramugari tersebut kekal dengan pendiriannya dan memberi bayangan bahawa lelaki itu sememangnya tahu apa yang telah dilakukannya.

Antara hujah lain yang dikemukakan ialah hubungan China-Malaysia sangat baik.

Akhirnya, dua pegawai keselamatan mengangkatnya keluar dari tempat duduk dan mengiringnya keluar dari pesawat.

Menurut individu yang merakam dan memuat naik video berkenaan di media sosial, penumpang tersebut dipercayai seorang warga China,

Perakam video itu difahamkan merupakan seorang ketua pelancong dari Malaysia bagi sebuah syarikat pelancongan.

Dalam hantaran yang kini telah dipadam, perakam video tidak menyaksikan sendiri kejadian sentuhan tersebut, namun menyatakan bahawa emosi tidak timbul tanpa sebab.

Menurutnya, terdapat beberapa isu teknikal yang menjejaskan proses menaiki pesawat, dan beliau sendiri berasa kecewa dengan cara kakitangan darat mengendalikan situasi tersebut.

Beberapa tempat duduk penumpang telah ditukar, menyebabkan mereka tidak dapat melepasi pintu pelepasan menggunakan pas masuk asal.

Keadaan menjadi kelam-kabut, dengan kakitangan darat dilaporkan lambat memproses pas masuk baharu.

Ramai penumpang dari China kelihatan buntu kerana tidak memahami situasi yang berlaku, selain tiada bantuan terjemahan disediakan.

Berdasarkan status penerbangan MH318, pesawat tersebut berlepas lewat kira-kira satu jam, iaitu dari 11:40 malam ke 12:41 pagi.

Related Articles

Back to top button