“Siti Sarah, Anak Perempuan Awak Bagi Saya Duit Raya”

Pelawak dan usahawan Shuib, 40, meluahkan rasa terharu apabila menerima duit raya daripada anak perempuannya, Dzahira Talita Zahra yang disifatkan sebagai antara momen paling bermakna sepanjang Syawal tahun ini.
Menurut pemilik nama sebenar Shahmira Muhamad, dia melihat sikap pemurah yang ditunjukkan anaknya itu tidak ubah seperti arwah isterinya, Siti Sarah yang terkenal dengan sifat suka berkongsi rezeki.
“Kepada Ibu Siti Sarah, anak perempuan awak, Thalita bagi saya duit raya buat pertama kalinya.
“Umur dia baru 13 tahun tetapi sudah boleh bagi duit raya kepada keluarga. Memang hati yang sangat baik, macam awak,” tulisnya dalam sebuah hantaran.
Dalam pada itu, Shuib turut merakamkan penghargaan kepada isterinya kini, Watie Hanifiah, yang banyak memainkan peranan dalam mendidik anak-anak tentang nilai berkongsi dan menghargai rezeki.
“Ini semua hasil didikan mummy Watie juga. Pandai didik anak-anak tentang rezeki. Alhamdulillah, syukur ya Allah. Selamat Hari Raya semua,” katanya.
Untuk rekod, Shuib pernah mendirikan rumah tangga dengan Siti Sarah pada tahun 2011 sebelum penyanyi itu meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan COVID-19.
Shuib kemudian kembali bergelar suami apabila berkahwin dengan Watie atau nama penuhnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah pada 23 Jun 2023.



