“Saya Sedih Noraniza Idris Dikecam, Dia Legenda”

Penyanyi, Shiha Zikir, 39, berasa sedih apabila Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris menerima kecaman netizen hanya kerana meluahkan rasa suka terhadap lagu terbaharunya berjudul Minta Ampun.
Pemilik nama lengkap Nurshiha Mohd. Zikir, berkata tindakan Noraniza yang mesra disapa Kak Ani itu tidak wajar dijadikan alasan untuk dihujani dengan kata-kata negatif oleh segelintir pihak.
“Saya sedih apabila Noraniza Idris dikecam seperti itu. Pada saya, macam ini ke jadi peminat? Kenapa sanggup komen begitu?
“Saya sangat neutral, saya rasa dia tidak buat salah. Dia tak komen terlalu kasar yang ditujukan atau libatkan orang lain.
“Bagi saya, dia (Noraniza) adalah seorang legenda. Jujur saya sangat sedih dan bergenang air mata saya,” katanya.
Dalam masa sama, Shiha itu turut meluahkan rasa terkejut melihat sikap segelintir peminat yang terlalu obses sehingga hilang pertimbangan serta adab ketika memberikan pandangan di media sosial.
“Terkejut dengan segelintir peminat. Saya faham ada penyokong yang obses tapi kena ada batasnya. Sebelum buat apa-apa kena fikir dahulu,” ujarnya.
Sebagai seorang selebriti, Shiha juga menegaskan dia sering menasihati para peminatnya agar tidak terlibat dalam budaya mengecam atau meninggalkan komen berunsur toksik terhadap penyanyi lain.
“Saya memang selalu pesan kepada peminat untuk tidak komen toksik kepada penyanyi lain. Memang saya akan beritahu mereka, itu tidak baik,” jelasnya.
Terdahulu, Noraniza menyatakan lagu raya kegemarannya pada tahun ini ialah Minta Ampun nyanyian Shiha kerana mempunyai elemen kemelayuan yang kuat selain alunan yang menyentuh perasaan.
Namun begitu, sebahagian netizen tidak dapat menerima pandangan tersebut dan mendakwa Minta Ampun bukan lagu raya, sebaliknya hanya sebuah single tradisional seperti kebiasaan karya dalam katalog muzik Shiha.



