Viral

“Lima Jam Lambat Ke Lokasi, Itu Kurang Ajar”

Pelakon, Datuk Rosyam Nor, 59, menyifatkan isu segelintir pelakon yang tidak menghormati masa di set penggambaran sebagai antara asam garam dalam dunia lakonan.

Pemilik nama sebenar Mohamed Noor Shamsuddin, bagaimanapun berpendapat sikap datang lewat ke lokasi tidak sepatutnya menjadi amalan berterusan dalam kalangan pelakon.

“Kadang-kadang kita tak tahu apa masalah dengan pelakon itu, terima sahajalah. Zaman saya pun ada pelakon-pelakon senior datang lambat.

“Ini rencah-rencah kehidupan dalam bidang lakonan tapi bagi saya kalau mereka dah komited dengan kerja, sesekali ada sebab-sebab muhasabah, tiada masalah. Kalau berkali-kali itu kurang ajar,” katanya.

Berkongsi pengalaman hampir empat dekad bergelar anak seni, Rosyam mengakui dirinya amat menitikberatkan soal ketepatan masa kerana menganggap kerjaya lakonan adalah sumber rezeki yang perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab.

“Saya mana pernah datang lambat, saya kerja rezeki Allah bagi kita kena jaga. Kalau kita lambat sebab jalan jem atau ada masalah beritahu produksi.

“Tapi jangan sampai lima jam lambat ke lokasi, itu bukan lambat itu kurang ajar,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Rosyam turut menasihatkan para pelakon agar menjaga disiplin sekiranya mahu bertahan lama dalam industri seni.

“Setakat ini tiada (pelakon baharu datang lambat), pelakon lama yang datang lambat adalah.

“Reaksi saya nak buat apa? Saya pelakon bukan orang produksi, tapi bagi mereka yang datang lambat mungkin hari ini dia rasa diperlukan.

“Tapi satu hari nanti, mungkin dia tak diperlukan ketika itu dia baru nak betulkan disiplin dah terlambat,” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, pemilihan pelakon oleh sesebuah rumah produksi bukan hanya bergantung kepada bakat semata-mata, sebaliknya aspek disiplin juga memainkan peranan penting.

“Banyak berlaku depan mata saya, kadang-kadang bukan nak ambil pelakon sebab lakonan tapi disiplin.

“Kalau dia ala-ala sederhana tapi disiplin bagus, tak rosakkan atau jejaskan produksi, itu menjadi pilihan.

“Saya lihat ramai yang berdisiplin tinggi terus berkarya dan bekerja sampai ke hari ini.

“Diberi peluang oleh rumah produksi. Disiplin benda paling penting dalam karier seorang pelakon,” tuturnya.

Related Articles

Back to top button