Lakon LayarViral

“Saya Baik Dengan Semua Orang” – Qistina Raisah

Dikaitkan semula dengan polemik melibatkan dua pelakon muda, Mia Sara dan Puteri Balqis, aktres Qistina Raisah tampil menjelaskan bahawa apa yang pernah berlaku dalam hidupnya sebelum ini sudah cukup dijadikan teladan.

Pemilik nama lengkap Nur Qistina Raisah Mohd. Kamarol Azri menegaskan dia memilih untuk tidak terlibat dalam urusan orang lain demi menjaga ketenangan diri dan fokus terhadap kehidupan peribadi.

Menurutnya, dia sendiri hanya menyedari namanya kembali menjadi perbualan selepas beberapa hari kerana ketika itu sedang sibuk dengan urusan kerja di Brunei.

“Kalau sekadar imbas kembali untuk dijadikan pengajaran, saya okey saja. Tapi kalau sudah berlebihan, saya memang tak tahu apa-apa.

“Saya pun hanya tahu isu ini tular selepas dua atau tiga hari sebab terlalu sibuk. Saya tak mahu masuk campur dan lebih selesa fokus kepada keluarga, kehidupan serta perniagaan sendiri,” katanya.

Qistina mengakui tidak terkejut apabila namanya sekali lagi dipetik netizen, malah menyerahkan sepenuhnya kepada orang ramai untuk menilai berdasarkan fakta masing-masing.

“Reaksi saya biasa saja sebab dah biasa orang sebut nama saya secara tiba-tiba. Isu itu pun dah berlalu beberapa tahun.

“Semua orang ada pandangan berbeza. Kalau orang baca dan rasa saya salah, maka salah lah pada pandangan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon filem Rahsia tersebut menegaskan dia tidak pernah menyimpan rasa dendam terhadap sesiapa dan sentiasa memilih pendekatan merendah diri apabila bertemu rakan artis.

“Saya baik dengan semua orang. Kalau orang tegur, saya tegur balik. Jumpa orang saya salam dan bertegur sapa.

“Kalau ada yang tak mahu layan, tak mengapa. Tapi saya memang tak pernah simpan dendam. Kita kena bersihkan hati sebab benci orang hanya menyakitkan diri sendiri,” katanya lagi.

Sebelum ini, media sosial menjadi kecoh apabila Puteri Balqis secara terbuka menegur Mia Sara dan meminta isu antara mereka diselesaikan, susulan dakwaan pelakon itu pernah memalukan ibunya.

Malah, Balqis atau Aqish turut mendakwa tangisan Mia Sara di hadapan media hanyalah bertujuan meraih simpati orang ramai.

Rentetan kontroversi tersebut, nama Qistina kembali dikaitkan kerana pernah terlibat dalam isu lama apabila didakwa menyindir Balqis sehingga mencetuskan salah faham antara mereka.

Walaupun sebelum ini Qistina menafikan terlibat sebagai punca pergaduhan dan pernah meminta penjelasan secara terbuka, kini dia memilih untuk tidak lagi mengheret perkara lama demi kebaikan semua pihak.

Related Articles

Back to top button