“Paling Sedih Dan Menyayat Hati”- Syamel

Mahu memberikan kelainan disamping memenuhi kehendak sebahagian besar pendengar membuatkan penyanyi Syamel hadir dengan buah tangan terbaharu untuk peminat.

Kembali mengangkat kekuatan vokalnya menerusi sebuah lagu balada terbaharu berjudul Berakhir Kita, ada sesuatu yang istimewa dipersembahkan oleh Syamel dalam karya ciptaan Shazriq Azeman dan Omar K.

Menurut Syamel, kolaborasi bersama mereka berdua merupakan satu pengalaman yang cukup menyenangkan dan memberikan banyak pelajaran baharu untuknya.

“Mereka sentiasa memberikan tenaga yang positif dan kebebasan untuk saya mengolah lagu ini mengikut keselesaan nyanyian saya. Itu membuatkan proses rakaman menjadi lebih selesa dan bermakna,” jelas Syamel.

Berakhir Kita pada dasarnya mengangkat tema cinta yang tidak kesampaian adalah sebuah balada emosi yang merungkai perasaan pilu apabila sebuah hubungan terhenti sebelum sempat bermula.

Bait-bait liriknya menggambarkan peritnya melihat harapan cinta yang sepatutnya menjadi milik kita, musnah di depan mata mewakili suara mereka yang pernah mengalami kekecewaan dalam cinta yang tidak berpenghujung.

Lagu ini turut dilengkapi dengan sebuah paparan visual yang akan disatukan bersama sebuah drama bersiri yang bakal ditayangkan. Bagi Syamel, elemen visual tersebut mampu memperkukuh emosi dan jalan cerita lagu ini.

“Hayatilah lirik dan melodi lagu ini sebab bagi saya, cukup sedih dan menyayat hati. Ditambah pula dengan babak-babak dalam drama tersebut, saya percaya ia akan memberikan impak yang lebih mendalam kepada para pendengar,” tambahnya.

Menariknya, naskhah kali ini merupakan kerjasama antara Universal Music Malaysia, Maison Management and Global Keynote Sdn. Bhd.

Proses penghasilan Berakhir Kita turut mendapat sokongan padu daripada semua pihak yang terlibat. Gabungan usaha serta komitmen pasukan produksi menjadikan lagu ini lahir dengan penuh jiwa dan keikhlasan.

“Ramai individu telah memainkan peranan dalam menjayakan lagu ini. Semua bergerak seiring dan memberikan kerjasama yang amat positif sepanjang proses penghasilan,” kata Syamel.

Syamel turut berharap agar Berakhir Kita mampu menyentuh hati para pendengar dan menjadi lagu yang dekat dengan kehidupan serta pengalaman peribadi mereka.

“Saya berharap lagu ini akan melekat di hati pendengar, dan mereka dapat mengaitkannya dengan kisah hidup mereka sendiri,” ujarnya yang menantikan maklum balas peminat sejak dilancarkan 6 Ogos yang lalu.

Related post

Leave a Reply