
Zizi Kirana & Heliza Helmi Antara Rakyat Malaysia Ditahan Israel
Empat lagi rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Flotila Sumud Global (GSF) disahkan telah dipintas tentera Zionis di perairan Gaza, awal pagi Khamis.
Mereka ialah penyanyi Heliza Helmi bersama adiknya, Nur Hazwani yang menaiki kapal Hio, selain Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad yang berada di atas kapal Grande Blu.
Menurut sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), kapal Grande Blu dipintas pada jam 12.58 tengah malam waktu Gaza, manakala kapal Hio pula pada jam 2.34 pagi, di kedudukan kira-kira 60 batu nautika dari Gaza.
Sehingga jam 7.50 pagi waktu Malaysia, seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan SNCC selepas kapal yang mereka naiki dipintas.
Antara mereka termasuk penyanyi Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga, Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil di atas kapal Alma serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius.
SNCC dalam kenyataan turut memaklumkan, setakat ini 10 kapal berada pada status “diserang”, manakala 13 kapal lagi menghantar isyarat “kecemasan”.