Meskipun sudah menjalani pembedahan memotong tiga jari kaki akibat penyakit diabetes, pelawak, Sathiya Periasamy tetap ceria menyambut rombongan Ziarah Seni Madani anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini.
Dia yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Ampang, reda dengan ujian yang dihadapi selain menganggap ini adalah ‘bahagian’ untuk dirinya melalui fasa sukar.
“Tak guna bersedih dan saya tak nak bersedih. Kalau saya akan mati pun, saya nak gembira juga. Saya pun tidak pernah sedih, sentiasa gembira.
“Malah, saya sudah pesan pada isteri dan anak, kalau saya mati barulah menangis,” katanya dalam pertemuan bersama wakil industri dan media.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Pengerusi Finas, Dato Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dato Saifuddin Mutalib serta Ahli Perbadanan FINAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data, Zed Zaidi.

Selain Sathia, program ini juga mengunjungi penyanyi Dino daripada kumpulan Nico G, yang diserang strok baru-baru ini. Meskipun masih dalam proses pemulihan, penyanyi berkenaan kekal positif dan mahu kembali aktif seperti dahulu.