Anggota BTS, V, telah menyuarakan kebimbangannya terhadap kelakuan peminat yang tidak terkawal di lapangan terbang, sambil menekankan pentingnya keselamatan dan sikap hormat di tempat awam.
Pada 28 Julai, menerusi siaran langsung di platform komunikasi peminat Weverse, V secara terbuka berbicara mengenai risiko yang timbul akibat suasana huru-hara di lapangan terbang yang dicetuskan oleh sebilangan peminat sewaktu ketibaan dan pelepasannya.
V menjelaskan yang dia memilih untuk tidak bergambar di lapangan terbang baru-baru ini atas faktor keselamatan.
“Lapangan terbang bukan milik kita,” katanya ringkas seperti dilaporkan Koreaboo.
Ucapan tersebut merupakan peringatan jelas bahawa ruang awam harus dihormati oleh semua orang. Kebimbangan mengenai segelintir peminat yang mengabaikan aturan dan meletakkan artis serta orang awam dalam risiko telah lama dibangkitkan.
Selain itu, V turut menyatakan sokongannya terhadap usaha menghidupkan semula inisiatif keselamatan peminat yang dikenali sebagai ‘Purple Line’, yang diperkenalkan pada 2018.
Dalam kempen ini, sekumpulan kecil peminat berdiri dalam barisan teratur sambil memegang reben ungu, iaitu warna yang mewakili BTS, bagi memastikan ahli kumpulan dapat bergerak dengan selamat di lapangan terbang.
“Kalau peminat boleh hidupkan semula Purple Line dan kekalkan suasana yang selamat dan teratur, itu sangat bagus.
“Kalau begitu, saya boleh fikir lebih tentang pakaian saya ke lapangan terbang, mungkin pakai sut sekali pun,” katanya lagi.