
Uyaina Arshad Terjun Dalam Bidang Penerbitan
Selepas hampir sedekad menjadi wajah kesayangan penonton program Wanita Hari Ini (WHI), pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad akhirnya mendedahkan alasan di sebalik pengundurannya adalah untuk memberi tumpuan kepada filem pertamanya sebagai penerbit berjudul Ragging: Melawan Bungkam.
Menurut Uyaina, keputusan itu bukan dibuat secara tiba-tiba, sebaliknya sudah dirancang teliti bersama pasukannya sejak beberapa bulan lalu.
“Sejak saya keluar daripada Wanita Hari Ini, soalan yang paling kerap saya terima adalah, ‘Uyaina buat apa sekarang?’.
“Selepas berbulan-bulan membuat persiapan, akhirnya saya boleh berkongsi sesuatu yang sangat istimewa.
“Saya bakal menerbitkan filem bertajuk Ragging: Melawan Bungkam, yang kini sedang dalam proses pembikinan,” katanya dalam perkongsian di Instagram.
Naskhah tersebut diinspirasikan daripada kisah benar berkaitan budaya buli dan ‘ragging’ yang masih berleluasa hingga ke hari ini. Jelas Uyaina, isu ini terlalu berat untuk terus didiamkan.
“Saya terpanggil untuk menghasilkan filem ini kerana terlalu banyak ketidakadilan dan nyawa yang melayang akibat budaya buli. Sudah tiba masanya kita bersuara dan menamatkan kitaran ngeri ini.
“Jujur saya gementar, tapi dalam masa yang sama teruja luar biasa. Selalunya saya berdiri di depan kamera, kini saya berada di belakangnya pula.
“Namun kepuasan melahirkan karya sendiri benar-benar memberi makna,” kata ibu tiga cahaya mata itu.
Tambah Uyaina, dia turut menzahirkan rasa syukur kerana dikelilingi pasukan produksi yang berpengalaman dan tidak lokek berkongsi ilmu.
“Pengacaraan, lakonan dan advokasi tetap sebahagian daripada diri saya. Cuma kali ini, saya melangkah ke dunia baharu, sebagai penerbit dan penulis skrip.
“Masih banyak yang perlu saya pelajari, tetapi saya bersyukur kerana berada dalam kalangan individu hebat yang banyak membimbing,” luahnya lagi.
Pengunduran Uyaina dari WHI sebelum ini sempat menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penonton setia. Namun, dia menegaskan keputusan itu bukan berpunca daripada sebarang konflik atau salah faham.