Usia 50, Kris Dayanti Wakil Indonesia Dalam Sukan Wushu

Usia 50, Kris Dayanti Wakil Indonesia Dalam Sukan Wushu

Diva terkenal Indonesia, Kris Dayanti, 50, membuktikan usia bukan halangan untuk terus mengejar impian apabila kini bergelar atlet wushu.

Penyanyi bersuara emas itu mewakili Indonesia dalam kejohanan sukan tersebut di China bermula 14 hingga 20 Oktober ini.

Menerusi satu hantaran di Instagram, nenek kepada dua cucu itu tampil menawan dalam persalinan rasmi skuad wushu, di samping rakan sepasukan yang kebanyakannya jauh lebih muda.

Namun begitu, semangat juang dan keyakinan yang terpancar di wajahnya jelas tidak kalah dengan mana-mana atlet muda lain.

“Berlatih layaknya bertanding, kami melakukan simulasi latihan terakhir sebelum berangkat untuk pertandingan antarabangsa wushu di İmeishan. Doakan Indonesia juara,” tulisnya di Instagram.

Dalam satu video latihan yang tular di media sosial, Kris Dayanti dipuji ramai kerana masih tangkas dan lincah melakukan gerakan wushu walaupun sudah berada di usia emas.

Aksi fleksibel dan penuh tenaga itu membuatkan ramai kagum, malah menjadikan dirinya sumber inspirasi kepada masyarakat.

Difahamkan, penyanyi lagu Menghitung Hari itu pada mulanya hanya menjadikan wushu sebagai aktiviti riadah untuk mengekalkan kecergasan tubuh dan mengisi masa lapang.

Namun, minat yang bermula sekadar hobi itu akhirnya berkembang sehingga dia nekad menjalani latihan intensif dan terpilih untuk mewakili negara.

Related post

Leave a Reply