Uqasha Senrose Dah 4 Tahun Beri Peluang Kepada Kamal Adli
Pelakon, Uqasha Senrose, 33, menjelaskan keputusan memfailkan perceraian pada 1 Oktober lalu dibuat selepas hampir empat tahun memberi peluang kepada Kamal Adli untuk mempertahankan perkahwinan mereka, namun peluang itu dipersiakan.
Menurut Uqasha, dia bukan sahaja memberi ruang kepada suaminya memperbaiki hubungan, malah pernah berbincang secara terbuka dengan keluarga Kamal bagi mencari titik penyelesaian terbaik.
“Saya dah cuba sedaya upaya. Saya jumpa keluarga Kamal dulu pun sebab nak minta pertolongan untuk sama-sama memperbaiki rumah tangga kami. Kedua-dua keluarga sudah duduk berbincang dan bersetuju beri peluang.
“Tapi tiada perubahan. Bila keadaan semakin memudaratkan saya dari segi mental dan fizikal, serta anak, saya ambil keputusan untuk keluar daripada kemelut itu. Saya nak selamatkan diri dan anak,” katanya.
Sementara itu, Kamal, 39, menyuarakan rasa terkilan apabila mendakwa dirinya sukar bertemu dengan anak, Hawra Uqaira termasuk perlu menghantar surat kepada pihak isteri.
“Saya cuma nak minta dipermudahkan. Kalau isteri tidak mahu jumpa saya tak mengapa, tapi Hawra sangat rapat dengan saya.
“Rasa dah lama sangat tak dapat luang masa dengan dia. Kali terakhir jumpa pun 10 November… itu pun terjumpa,” katanya.
Jelas Kamal, kehadirannya ke mahkamah bukan untuk dirinya semata-mata, sebaliknya demi memastikan anak kecil itu tetap mendapat kasih sayang penuh daripada kedua-dua ibu bapa.
“Saya cuma nak pertahankan hak sebagai bapa. Saya tak mahu Hawra terkesan atau rasa kurang kasih sayang,” tambahnya.
Namun dakwaan Kamal itu segera disangkal oleh peguam syarie mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian, yang menegaskan pihaknya tidak pernah menghalang aktor itu untuk berjumpa anak.
Menurut Syazmee, pertemuan yang berlaku pada 10 November lalu adalah atas persetujuan bersama.
“Kamal memang sudah berjumpa anak hari itu. Ia bukan pertemuan kebetulan seperti didakwa. Perkara tersebut dirancang lebih awal melalui adik Uqasha.
“Jadi tuduhan kononnya tidak diberi peluang berjumpa anak adalah tidak tepat,” jelasnya.
Tambah Syazmee, anak guamnya sentiasa menghormati kedudukan Kamal sebagai bapa dan terbuka berbincang mengenai urusan penjagaan serta masa untuk bertemu Hawra.
Mahkamah menetapkan 18 Disember depan sebagai tarikh pertemuan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), sebelum prosiding diteruskan.
Pasangan ini berkahwin pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia tujuh tahun sembilan bulan.
