
“Tulang Belakang Saya Pernah Patah Tapi Saya Tetap Naik Pentas”
Penyanyi dan pelakon Junho mendedahkan pengalaman kecederaan serius yang pernah dialaminya semasa zaman aktif bersama kumpulan 2PM.
Menerusi temubual di saluran Youtube When Did You Grow This Much?, Junho yang dijemput sebagai tetamu memberitahu berlakunya kecederaan serius pada ligamennya.
“Masa tu, kecederaan memang perkara biasa. Masa menari, ligamen saya pernah terkoyak sepenuhnya dan meninggalkan lapan lubang.
“Jahit luka dan koyakan ligamen dah jadi kebiasaan. Tulang belakang saya pula ada masalah pada cakera ketiga dan kelima, tapi yang keempat sebenarnya patah. Bila saya tengok X-ray, memang retak sepenuhnya.
“Masa latihan, tiba-tiba saya dengar bunyi ‘snap’ dan kepala rasa sakit sangat sampai saya rebah dan tak boleh bangun. Masa tu baru saya pergi hospital,” katanya.
Ketika itu, Junho terpaksa memakai pendakap belakang untuk membantu proses pemulihan tulang.
“Walaupun begitu, saya tetap perlu naik pentas. Saya terlalu cintakan persembahan. Zaman dulu lain konsepnya, tapi bagi saya, itu janji kepada peminat yang datang menonton. Saya tak nak sekadar berdiri tanpa semangat,” tuturnya.
Junho turut mengimbas kembali bagaimana adrenalin membuatkan dia mampu bertahan di atas pentas meskipun tubuhnya bengkak dan bergerak perlahan.
“Lepas habis persembahan, saya terpaksa dibawa ke belakang pentas dengan kerusi roda. Masa tu saya fikir, ‘Kalau saya tak buat ni, apa lagi yang saya ada?’ Saya rasa sangat malu dengan diri sendiri ketika itu,” katanya dengan jujur.