Penganjur perlu ‘disiplinkan’ artis luar sebelum buat konsert

AKSI biadab kumpulan pop rock British, The 1975 diundang ke Malaysia pada 21 Julai lalu untuk membuat persembahan nyanyian sempena festival Good Vibes mendapat kritikan hebat.

Vokalis The 1975, Maaty Healy dengan berani menghina undang-undang negara melarang ideologi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Healy juga minum arak, termasuk berkucupan dengan pemuziknya.

Persembahan The 1975 ini sudah terang lagi bersuluh meremehkan undang-undang Malaysia yang menetapkan perlakuan LGBT adalah jenayah boleh dikenakan hukuman.

Rentetan kejadian itu, penganjur mana-mana konsert perlu lebih peka membuat pemilihan penyanyi undangan dari luar negara serta memberi peringatan supaya sentiasa menghormati undang-undang dan budaya Malaysia.

S

Penganjur perlu menetapkan mereka tidak boleh melakukan sebarang aksi tidak sopan bertentangan dengan budaya dan tatasusila rakyat Malaysia serta tidak menyentuh isu keagamaan.

Pengajaran kepada penganjur konsert atau festival di Malaysia selepas kontroversi The 1975 ini ialah mereka perlu memastikan kesalahan sama tidak berulang.

Paling penting, konsert hiburan dianjurkan tidak menyemai bibit kebencian kepada undang-undang Malaysia dan tidak menyuburkan ideologi songsang seperti mempromosi LBGT.

Tujuan garis panduan ini diperhalusi semula dan dipatuhi penganjur konsert bukan untuk menyusahkan penganjur, tetapi untuk memastikan ia bebas daripada anasir melampaui batas yang boleh merosakkan generasi muda.

Menurut fiqh Islam, ulama berselisih dalam isu muzik dan nyanyian. Majoriti ulama menyatakan haram kerana boleh membuatkan manusia lalai mengingati Allah dan boleh meniup unsur maksiat.

3 kayu ukur jadi panduan anjur konsert

Apa yang penting, tiga kayu ukur boleh dijadikan panduan untuk menganjurkan konsert antaranya tidak mempromosi lirik lagu menyalahi undang-undang, melanggar batas agama dan merangsang kejahatan.

Penampilan artis, termasuk segala ucapan dan aksinya tidak boleh melampaui batas, terkawal dan tidak menyemai budaya provokasi terhadap agama, penganutnya atau bangsa. Pasca konsert, persembahan artis mampu memberi impak positif dari segi jati diri dan pembangunan insan kepada penonton.

Tuntasnya, berhibur atau bermuzik pada hari ini tidak dihukumkan secara mutlak sama ada harus ataupun haram. Ia boleh jadi harus dan ada masa boleh jadi haram mengikut perspektif ajaran Islam. Bagi agama bukan Islam, mungkin ada ajaran boleh disesuaikan mengikut keperluan perundangan negara.

Mengambil kira dengan suasana dakwah hari ini boleh disampaikan dengan lebih mesra dan lebih jauh dengan nyanyian, penulis cenderung mengatakan satu garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) mengikuti syarak atau prinsip madani perlu diusulkan supaya masyarakat kita tidak terlalu ekstrem berhibur.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Related post