Siti Nurhaliza, Ade Govinda Kembali Bekerjasama menerusi “Menamakanmu Cinta”

Jika sebelum ini Ade Govinda berjaya mencipta fenomena bersama Ernie Zakri, kini komposer berkenaan sekali lagi mempertaruhkan “Menamakanmu Cinta” bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza 

Single terbaharu hasil kolaborasi dua sosok seni yang sudah dikenali ramai ini merupakan lagu cinta yang sarat dengan emosi dan dijangka menjadi kegemaran para pencinta muzik di Malaysia, Indonesia, serta peminat muzik Nusantara khususnya.

Ini bukanlah kerjasama pertama mereka sebaliknya Ade pernah mencipta tiga lagu popular untuk Siti Nurhaliza dalam album Fragmen (2014), iaitu “Terbaik Bagimu”, “Engkau” dan “Tak Pernah Ragu”.

Kini, dua sahabat dalam dunia seni muzik ini kembali bergabung, menghasilkan karya yang lebih matang dan penuh rasa, iaitu “Menamakanmu Cinta”.

Jelas Siti Nurhaliza, pastinya beliau bersyukur kerana berpeluang bekerjasama semula dengan Ade selepas sekian lama tidak berbuat demikian.

“Saya sangat gembira dapat kembali berkolaborasi dengan Ade Govinda selepas lagu “Terbaik Bagimu”, “Engkau”, dan “Tak Pernah Ragu” dalam album terdahulu. 

“Menamakanmu Cinta” ialah sebuah lagu yang sangat indah, sangat unik dengan sentuhan khas Ade yang sentiasa berjaya mencipta lagu-lagu hits masa kini.

“Harapan saya, semoga single terbaharu ini dapat diterima dengan baik oleh para peminat di Malaysia, Indonesia, mahupun di mana sahaja,” kata Siti bercerita. 

Siti dan Ade sudah pernah bekerjasama menerusi album Fragmen sebelum ini.

Penyanyi ini juga menyifatkan lagu ini sebagai karya yang membawa mesej positif dalam menghargai insan tersayang selain menyatukan kenangan serta perasaan mereka yang menghargai cinta dalam kehidupan.

Lagu ini dihasilkan dengan penuh perasaan dan harapan dengan setiap liriknya menggambarkan keindahan cinta sejati. 

Beliau juga berharap para pendengar dapat merasai perjalanan emosi melalui setiap nada dan melodi yang dipersembahkan.

Sementara itu, Ade, selaku penulis lagu dan juga penerbit, menganggap pengalaman bekerjasama dengan Siti kali ini amat istimewa.

“Idea awal lagu ini hadir kerana saya ingin mencipta sebuah lagu cinta yang boleh dinyanyikan di setiap majlis perkahwinan oleh sesiapa sahaja yang sedang berbahagia.

“Proses bekerjasama dengan Siti sangat pantas, menyeronokkan dan saya dapat meneroka vokalnya dengan luar biasa dalam tempoh yang singkat.”

“Beliau sentiasa mengambil berat terhadap semua orang. Ketika sesi rakaman, beliau pasti akan membawa banyak makanan. Suasana rakaman sangat santai tetapi masih kekal profesional, membuatkan saya bebas untuk bereksperimen,” jelasnya lagi.

Related post

Leave a Reply