Sistem SARA ‘Crashed’ Pada Hari Pertama, Kementerian Kewangan & MyKasih Mohon Maaf

Sistem SARA ‘Crashed’ Pada Hari Pertama, Kementerian Kewangan & MyKasih Mohon Maaf

Selepas ramai yang kecewa dengan kegagalan untuk melakukan transaksi pembeli menerusi sistem Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) semalam, pihak Kementerian Kewangan dan MyKasih tampil membuat permohonan maaf.

Menerusi hantaran di Facebook, pihak kementerian menjelaskan yang sistem mengalami masalah gara-gara menerima jumlah transaksi yang tinggi pada hari pertama bantuan disalurkan.

“Pihak Kementerian Kewangan dan MyKasih memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami para pengguna Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada hari ini.

“Susulan jumlah transaksi yang sangat tinggi sempena hari pertama penyaluran Penghargaan SARA, sistem terminal MyKasih telah mengalami kelewatan pemprosesan transaksi susulan lonjakan volum pembelian,” tulis hantaran berkenaan.

Dalam masa sama, hantaran berkenaan menjelaskan yang pembeli masih boleh dilakukan, namun terdapat sebilangan pekedai yang akan mengalami masalah ketika melakukan transaksi.

“Pembelian masih boleh dilakukan, namun sebahagian premis runcit mungkin menghadapi kesukaran untuk memproses transaksi akibat permintaan sistem yang terlalu tinggi.

“Pasukan teknikal MyKasih kini sedang giat menyelesaikan isu ini. Kami menjangkakan sistem akan kembali beroperasi seperti biasa dalam masa terdekat,” tulis hantaran itu lagi.

Terdahulu, media melaporkan, ramai dalam kalangan pembeli melahirkan rasa kecewa selepas gagal melakukan transaksi ketika mahu membeli barangan keperluan.

Akibatnya, pembeli perlu mengeluarkan belanja sendiri tanpa menggunakan bantuan yang diterima selepas sistem transaksi gagal beroperasi dengan baik.

Related post

Leave a Reply