Malang tidak berbau. Seorang pemandu cedera selepas kereta yang dipandu ditelan lubang benam (sinkhole) sedalam 3 meter di Jalan Tanjing Katong, Singapura.
Menerusi video yang viral di media sosial, selepas terbenam, kereta berkenaan dilihat terapung dalam lubang yang dipenuhi air.
Agensi air kebangsaan Singapura, PUB berkata, insiden berlaku sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan) di persimpangan Jalan Tanjong Katong dan Jalan Mountbatten.
Lokasi kejadian terletak bersebelahan tapak kerja PUB sedia ada, menyebabkan dua lorong jalan terjejas.
“Sebuah kenderaan terjatuh ke dalam lubang benam. Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyelamatkan pemandu wanita itu dan menghantarnya ke hospital.
“Polis, SCDF dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berada di lokasi kejadian untuk menguruskan keadaan.
“Kedua-dua arah jalan terjejas telah ditutup kepada lalu lintas. Pemandu dinasihatkan mengelak kawasan itu dan menggunakan laluan alternatif,” kata PUB menerusi satu hantaran Facebook.
Seorang penduduk memberitahu, kerja-kerja pembaikan telah dijalankan di lokasi itu selama beberapa bulan.
Individu berkenaan turut meluahkan rasa prihatin dan berharap agar PUB serta agensi berkaitan memeriksa tapak tersebut untuk keselamatan orang ramai.