Berita

Shuib, Watie Timang Cahaya Mata Perempuan

Pelawak dan usahawan Shuib, 42, berkongsi berita gembira apabila isterinya, Watie Hanifiah selamat melahirkan cahaya mata perempuan pertama mereka, pada Isnin.

Pemilik nama sebenarnya Shahmira Muhamad, memaklumkan bayi perempuan itu dilahirkan pada jam 3.47 petang dalam keadaan selamat.

“Alhamdulillah, Isnin, 6 April 2026, tepat pukul 3.47 petang lahirnya Puteri Daddy (panggilan Shuib) dan Mummy (panggilan Watie).

“Terima kasih sayang, jadi seorang wanita yang sangat luar biasa! Alhamdulillah semuanya cukup senang dan dipermudahkan,” tulisnya dalam sebuah hantaran.

Dalam masa sama, Shuib turut meluahkan rasa syukur atas segala yang telah dirancang oleh Allah SWT, selain menghargai doa daripada semua yang sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarganya.

“Perancangan Allah luar biasa, kita reda, kita tawakal dan bersyukur selalu. Terima kasih yang mendoakan kami sekeluarga. Selamat datang #ajz,” kongsinya lagi.

Perkhabaran gembira itu turut dibanjiri ucapan tahniah daripada rakan selebriti dan peminat yang tumpang bergembira atas kehadiran ahli baharu dalam keluarga mereka.

Terdahulu, Watie pernah melalui detik sukar apabila mengalami keguguran pada 11 Mei tahun lalu.

Untuk rekod, Shuib dan Watie mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023. Sebelum ini, Shuib pernah berkahwin dengan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan.

Related Articles

Back to top button