
Shahidan Izwan Kemalangan, Syukur Bayi Dalam Kandungan Isteri Selamat
Pelakon, Shahidan Izwan berdepan detik mencemaskan apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya pada jam 3 pagi Isnin.
Perkara itu dikongsikan sendiri olehnya menerusi beberapa siri hantaran di Instagram.
Menurut Shahidan, insiden tersebut mengingatkan dirinya betapa cepatnya hidup boleh berubah hanya dalam sekelip mata.
“Sekelip mata boleh hilang segalanya. Tapi Allah masih beri peluang. Syukur saya, isteri dan anak dalam kandungan selamat,” tulisnya.
Shahidan turut menzahirkan rasa syukur kerana masih diberi peluang kedua untuk bersama keluarga.
Katanya, pengalaman tersebut membuka mata tentang erti menghargai insan tersayang serta nikmat kehidupan yang sering dianggap remeh.
“Bila berlaku perkara macam ini, baru kita sedar betapa bernilainya masa bersama keluarga.
“Saya anggap ia satu peringatan daripada Allah untuk lebih bersyukur dan berhati-hati,” ujarnya lagi.
Dalam satu lagi hantaran, Shahidan berkongsi foto bersama isteri selepas mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan memaklumkan bayi yang dikandung isterinya berada dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah, bayi dalam kandungan selamat,” kongsinya ringkas.
Susulan perkongsian itu, ruangan komen Instagram Shahidan dibanjiri ucapan syukur dan doa daripada rakan artis serta peminat.
Ramai yang menitipkan nasihat agar pelakon tersebut lebih berhati-hati di jalan raya dan memberi fokus kepada keluarga terutama dengan kehadiran cahaya mata baharu yang bakal lahir.