Selepas hampir sedekad menjadi wajah kesayangan rancangan bual bicara Wanita Hari Ini (WHI), pengacara dan personaliti televisyen, Uyaina Arshad, 32, mengumumkan pengunduran dirinya daripada program itu.
Menerusi hantaran di Instagram, Uyaina dalam nasa sebak menitipkan ucapan penuh penghargaan buat semua pihak yang pernah bekerja bersamanya sepanjang sembilan tahun di WHI.
“Selasa adalah hari terakhir saya mengacarakan Wanita Hari Ini. Saya sendiri yang memilih untuk pergi.
“Tiada konflik, tiada salah faham. WHI adalah rumah saya. Keluarga saya. Saya amat menyayangi program ini dan semua yang menjayakannya,” tulis Uyaina.
Menurut Uyaina, keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah dibuat, namun merasakan inilah masa yang paling tepat untuk dia bergerak ke fasa seterusnya dalam karier.
“Bukan senang untuk buat keputusan ini, tapi saya rasa dah tiba masanya untuk Uyaina Arshad melangkah ke sesuatu yang baru. Kadang-kadang kita kena tahu bila masa untuk pergi,” tambahnya.
Ujar Uyaina lagi, peluang mengendalikan program WHI merupakan sebuah pengalaman paling bermakna dalam hidupnya. Selama hampir sedekad, dia banyak belajar dan membina identiti sebagai pengacara profesional.
“Paling saya banggakan adalah diberi kepercayaan selama sembilan tahun untuk jadi sebahagian daripada WHI.
“Di sini saya belajar menyusun kata, menjaga sensitiviti dan menghidupkan suasana siaran langsung,” ungkap ibu dua anak itu.