Trending

“Saya Tak Mahu Lagi Buat Adegan Dukung & Bersentuhan”

Pelakon, Datuk Aaron Aziz, 50, kini mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam memilih watak dan tuntutan kerja selepas lebih dua dekad aktif dalam industri seni.

Menurut Aaron, dia semakin sedar tentang kepentingan menjaga batas sebagai seorang Muslim, khususnya melibatkan babak bersentuhan dengan pelakon wanita.

Katanya, dia berusaha untuk mengelakkan adegan yang memerlukan sentuhan fizikal secara langsung, termasuk babak mendukung atau aksi intim.

“Kalau boleh saya tak mahu lagi buat adegan dukung atau bersentuhan. Kalau ada pun, mesti berlapik, berbaju dan tidak kena kulit,” katanya.

Tambah Aaron lagi, faktor usia turut memainkan peranan dalam perubahan pendiriannya selain kesedaran bahawa setiap perbuatan perlu dijaga sebaiknya.

“Saya pun dah masuk fasa 50-an. Kita tak tahu bila ajal akan tiba, jadi kenalah lebih berhati-hati,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, aktor asal Singapura tersebut mengakui usaha untuk mengurangkan babak intim sebenarnya sudah lama dilakukan, namun ada kalanya dia terpaksa memenuhi kehendak skrip dan arahan pengarah.

“Sebenarnya memang dah lama cuba kurangkan, tapi kadang-kadang kena ikut juga keperluan jalan cerita dan kehendak pengarah.

“Cuma sekarang tak adalah sampai keterlaluan macam dulu, peluk atau terlalu rapat. Kalau boleh ‘cheat’, kita akan buat,” jelasnya.

Aaron turut bersyukur apabila pihak produksi kini lebih memahami pendiriannya dan menghormati batas yang ditetapkan.

“Kontrak dengan manusia kita jaga, tapi kontrak dengan Allah pun kena jaga,” ungkap Aaron lagi seperti dilapor Kosmo.

Related Articles

Back to top button