“Saya Rasa Mereka Tiada Otak”- Soo Wincci

Pelakon dan penyanyi, Dr. Soo Wincci meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan tiga pempengaruh yang tular baru-baru ini kerana memberikan sebungkus nasi berlaukkan tulang ayam dipercayai sisa makanan kepada seorang gelandangan.

Tidak berdiam diri, Soo Wincci turut mengecam keras perbuatan tersebut dan menyifatkan ketiga-tiga individu terbabit sebagai ‘tidak mempunyai otak’.

“Bila saya tengok tindakan tiga pempengaruh itu, pada saya mereka memang melampau. Saya tertanya-tanya, kenapa mereka sanggup buat perkara sebegini? Saya rasa mereka tiada otak,” katanya yang ditemui dalam sebuah majlis.

Menurut Wincci, dia juga mengetahui kandungan tersebut hanyalah lakonan dan telah mendapat keizinan daripada gelandangan terbabit, namun tetap menyifatkan tindakan berkenaan tidak wajar dilakukan.

“Saya tahu mereka berlakon dan sudah minta izin, tapi mereka dah banyak kali buat konten seperti ini. Cuma kali ini baru terkena tempias besar.

“Sebelum ini, mungkin mereka fikir kaum Cina tidak akan kecam, tetapi sekarang kenalah juga,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Wincci berharap agar pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap ketiga-tiga pempengaruh berkenaan agar menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Ketika ini, SKMM sedang mencari mereka dan sebenarnya ada akta yang membolehkan mereka disaman sebanyak RM500,000.

“Saya harap individu yang sanggup buat apa sahaja demi konten dan populariti digam sahaja. Jangan bagi muka, jangan tunjuk belas kasihan.

“Saya juga berharap perkara ini tidak diulangi oleh sesiapa pun kerana ia boleh menjadi ikutan negatif kepada generasi muda,” katanya lagi.

Terdahulu, tiga pempengaruh tempatan mencetuskan kemarahan ramai apabila memberikan nasi berlaukkan tulang ayam dipercayai sisa makanan kepada seorang pengemis.

Selepas dikecam hebat, mereka tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan dipanggil memberikan keterangan kepada SKMM pada Selasa.

Related post

Leave a Reply