“Saya Cuma Hantar Dia Pulang” – Hueningkai TXT

“Saya Cuma Hantar Dia Pulang” – Hueningkai TXT

Anggota kumpulan Tomorrow X Together (TXT) Hueningkai, akhirnya bersuara mengenai dakwaan terbaharu yang mendakwa dia minum sepanjang malam bersama seorang wanita misteri di sebuah bilik peribadi baru-baru ini.

Pada 10 Oktober, Hueningkai menerusi perkhidmatan mesej di Weverse memohon maaf kepada peminat dan menjelaskan mengenai situasi yang sebenar.

Menurutnya, individu yang bersamanya pada malam itu hanyalah seorang kenalan dan dia hanya menghantar wanita itu untuk pulang ke rumah.

“Saya rasa sangat bersalah kepada MOA (nama fandom TXT). Saya tak tahu kenapa saya perlu elak perkara ini, jadi saya akan jelaskan saja. Saya bersama seorang kenalan dan dalam keadaan itu saya tak boleh biarkan dia sendirian.

“Jadi saya hantar dia pulang dan terus balik ke dorm. Ketika itu cuti, semua tempat tutup dan kami hanya pergi ke satu-satunya tempat yang masih buka,” jelasnya.

Dalam mesej selanjutnya, Hueningkai menjelaskan yang dia tidak gemar menimbulkan sebarang masalah sejak bergelar idola.

“Sejak debut, saya tak suka menimbulkan masalah kepada ahli kumpulan lain. Saya sebenarnya jenis yang suka duduk di rumah dan jarang keluar. Tapi, kali ini saya bertemu seseorang yang sudah lama tak jumpa.

“Begitupun, saya tetap fikirkan apa patut saya buat, dan akhirnya saya cepat-cepat hantar dia balik dan pulang ke dorm. Saya betul-betul minta maaf sebab buat MOA risau,” tulisnya lagi.

Hueningkai turut menambah, dia tidak gemar menipu dan mahu berlaku jujur.

“Saya benci menipu, saya cuma mahu jujur. Situasi ini nampaknya menyebabkan banyak salah faham, tapi MOA tak perlu risau. Saya mahu fokus lebih pada kerja dan MOA, jadi saya akan berusaha lebih keras supaya anda tak perlu risau lagi.

“Maaf kalau saya buat MOA, ahli kumpulan atau staf terluka. Saya tak tahu bagaimana mesej ini akan diterima, tapi kalau ia tak sampai seperti yang saya harapkan, saya benar-benar minta maaf,” katanya lagi.

Terdahulu, pada 8 Oktober, seorang pengguna tanpa nama memuat naik beberapa foto Hueningkai dan mendakwa dia keluar minum bersama seorang wanita sepanjang malam di bilik peribadi.

Individu tersebut turut mendakwa yang Hueningkai keluar minum dengan seorang wanita sehari selepas pulang ke Korea dan mereka minum hingga hari hampir subuh.

Pasangan itu juga menunggu hingga semua pelanggan lain pulang sebelum dijemput dengan sebuah kereta.

Selepas dakwaan itu tersebar, peminat tampil mempertahankan Hueningkai dengan mengatakan wanita tersebut sebenarnya ialah kakak perempuannya.

Namun begitu, isu ini tetap menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan komuniti dalam talian.

Related post

Leave a Reply