
Sambutan Positif Warga Industri, Briged Seni Kreatif APM Siap Siaga Hadapi Bencana
Hasrat untuk melahirkan lebih ramai sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) di bawah Briged Seni Kreatif berada di landasan yang betul apabila menerima maklum balas positif daripada warga industri sejak dilancarkan April lalu.
Menurut Ahli Perbadanan FINAS merangkap Pengerusi Jawatakuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri, Kolonel Bersekutu (PA) Zed Zaidi, beliau optimis sasaran sebanyak 1,200 keahlian boleh dicapai sedikit masa lagi.
“Pihak FINAS dan APM yakin sasaran yang diletakkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mampu dicapai dengan kerjasama daripada semua pihak. Apabila dilancarkan beberapa bulan yang lalu, ramai penggiat seni teruja dan menyatakan hasrat untuk turut serta.
“Setiap penyertaan yang diterima perlu ditapis sebelum mereka diterima masuk bagi mendapatkan individu yang benar-benar layak dan mampu menyumbangkan kembali jasa kepada masyarakat. Mereka akan diberikan kursus asas APM sebelum diberi pentauliahan,” katanya yang turut bertindak sebagai Pengerusi Briged Seni Kreatif FINAS.
Rentetan daripada itu, dua siri kursus asas telah diberikan kepada sejumlah pengguna seni termasuklah memberitakan tauliah kepada 60 penggiat seni pada Ahad, dalam siri kedua Kursus Asas Pertahanan yang dianjurkan.
Majlis disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam, Datuk KPj (PA) Aminurrahim Mohamad bersama Pengerusi FINAS merangkap Penasihat Briged Seni Kreatif, Dato Hans Isaac
Kursus yang diadakan selama dua hari itu memberi pendedahan kepada warga seni tentang pengetahuan asas pertahanan awam, pengurusan bencana serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
“Kesemua peserta yang terlibat diberikan kursus asas pertahanan awam dan beberapa cabang disiplin lain untuk menghadapi sebarang situasi. Ilmu asas ini amat penting bagi memastikan semua yang terlibat dapat mempraktikkan apabila berlaku kecemasan dan sebagainya.

“Pihak kami gembira dengan sambutan yang diberikan oleh warga industri kreatif. Setidaknya kita mampu melahirkan lebih ramai sukarelawan berkemahiran dan berilmu serta mampu membantu masyarakat,” tambahnya lagi.
Jelas Zed lagi, mereka yang terlibat sudah bersiapsiaga untuk menghadapi monsun yang biasanya melanda Pantai Timur pada October yang mengakibatkan banjir dan bencana alam yang biasa berlaku di beberapa kawasan di sana.
Hasrat ini juga telah dizahirkan oleh Menteri Komunikasi semasa acara penutup Bulan Pertahanan Awam 2025 pada 8 April lalu yang meminta agar Briged Seni Kreatif bersiap sedia menjelang bulan kesiapsiagaan pada Oktober.
“Kita yakin dengan kursus asas yang telah diberikan, mereka sudah bersiapsiaga dan menyumbangkan tenaga apabila diperlukan. Sebab itu juga kita mahu lebih ramai anak seni dan warga industri untuk sama-sama menyertai Briged Seni Kreatif APM bagi melengkapkan sasaran keahlian sebanyak satu platun.
“Ini masa untuk kita menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat dan melahirkan lebih ramai sukarelawan yang mempunyai ilmu pertahanan awam,” katanya.