Penyanyi Kaka Azraff, 36, memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan rumah tangganya dengan suami Adam Azriff yang dikatakan kembali dilanda badai.
Pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff, berkata dia tidak berani memberikan sebarang kenyataan kerana masih tiada kepastian mengenai status sebenar hubungan mereka ketika ini.
“Sebenarnya saya bukan nak mengelak. Saya pun menghormati rakan media dan netizen yang ingin tahu tentang hal rumah tangga saya.
“Cuma sekarang ini tidak ada yang nyata lagi, jadi saya tak mahu bercakap lebih lanjut.
“Apa yang saya boleh katakan sekarang, saya mohon doa daripada semua. Doakan yang terbaik untuk saya, anak-anak dan Adam,” katanya yang ditemui di majlis pelancaran Galeri Rockqueen pada Rabu.
Tambah Kaka, dia tidak pernah mengelak daripada menjawab persoalan mengenai kemelut rumah tangganya, namun memilih untuk berhati-hati demi menjaga perasaan semua pihak terlibat, terutamanya keluarga.
“Hal ini melibatkan ramai orang. Sebelum ini ada orang kata sampai bila saya nak lari. Saya tidak melarikan diri, cuma sedang menjaga banyak hati.
“Saya rasa kalau saya buka cerita ini, boleh mendatangkan fitnah. Jadi saya harap semua hormati keputusan saya untuk tidak berkongsi apa-apa buat masa ini,” ujarnya lagi.
Tambah pelantun Bawaku Pergi itu, jika ada sebarang pengesahan rasmi tentang status rumah tangganya, dia tidak menolak untuk berkongsi dengan umum bagi mengelakkan spekulasi dan salah faham.
“Alhamdulillah, saya bahagia di samping anak-anak dan keluarga. Kalau ada pengesahan tentang status saya selepas ini, mungkin saya akan kongsikan untuk elak fitnah,” jelasnya.
Imbas Kembali, Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018. Pasangan ini pernah pernah bercerai talak satu pada 28 Oktober tahun lalu. Kemudian rujuk Kembali.
Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Aslan, 6, Aryan, 4 dan Atta Adam yang kini berusia setahun.