Rizman Ruzaini Enggan Masuk Campur Isu Pelakon Tuntut Hutang Daripada Pereka Fesyen

Rizman Ruzaini Enggan Masuk Campur Isu Pelakon Tuntut Hutang Daripada Pereka Fesyen

Pereka fesyen terkenal, Rizman Nordin mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut mengenai kontroversi membabitkan seorang aktres yang dikatakan menuntut bayaran daripada pereka fesyen, baru-baru ini.

Menurut Rizman yang juga pengasas jenama Rizman Ruzaini bersama rakan kongsi, Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil, mereka memilih untuk berdiam diri selagi nama mereka tidak disebut secara jelas dalam mana-mana kenyataan dikeluarkan.

“Selagi bukan nama kami yang disebut atau dipetik secara jelas, kami tiada apa-apa komen. Kami tidak tahu kepada siapa isu itu ditujukan.

“Jadi buat masa ini, kami tiada komen. Dalam dunia fesyen, perkara seperti ini memang biasa terjadi. Kadang-kadang muncul pelbagai cerita, andaian dan teka-teki,” jelasnya.

Mengulas sama ada kontroversi tersebut memberi kesan terhadap perniagaan mereka, Rizman menegaskan jenama Rizman Ruzaini masih menerima sokongan kukuh daripada pelanggan setia.

“Alhamdulillah, tiada sebarang perubahan besar. Pelanggan kami masih setia dan percaya dengan jenama ini. Fokus utama kami tetap kepada perniagaan.

“Untuk membina empayar fesyen yang dihormati bukan mudah, memerlukan tanggungjawab besar dan komitmen penuh,” katanya lagi.

Berkongsi pandangan tentang persepsi masyarakat yang sering mengaitkan isu hutang dengan kejatuhan sesebuah perniagaan, Rizman menjelaskan dunia perniagaan nyata tidak seindah yang disangka.

“Kalau ada yang fikir perjalanan jenama kami selama 20 tahun ini sentiasa lancar, itu mustahil. Dalam bisnes, pasti ada pasang surut.

“Banyak pengalaman dan cabaran yang kami lalui. Apa yang penting, kami belajar daripada kesilapan dan terus bangkit.

“Kadang-kadang, nama kami disebut kerana kaitan dengan seseorang, walaupun kami tidak terlibat pun.

“Saya dan Ruzaini sentiasa berpegang kepada prinsip untuk menjauhkan diri daripada kontroversi dan fokus pada perkara positif.

“Dalam setiap urusan, kami sentiasa mengamalkan pengurusan yang profesional,” katanya lagi.

Related post

Leave a Reply