Rebecca Nur Al-Islam Genggam Ijazah Sarjana Muda

Rebecca Nur Al-Islam Genggam Ijazah Sarjana Muda

Pelakon, Rebecca Nur Al-Islam, 39, membuktikan usia bukan penghalang apabila berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kepujian) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Menurut Rebecca, perjalanan menamatkan pengajian bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan dia memikul pelbagai tanggungjawab serentak.

“Sesungguhnya perjalanan pembelajaran selama hampir lima tahun bukanlah mudah kerana dalam masa sama saya ibu kepada tujuh anak yang masih kecil lagi.

“Saya juga anak perempuan kepada ibu saya, saya juga isteri (pada ketika itu). Dalam masa sama saya bekerja mencari rezeki yang halal untuk anak-anak saya,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Tambah Rebecca, dia reda dengan ujian yang dihadapi sepanjang hidupnya selain menitipkan nasihat agar sentiasa berpegang teguh pada agama walaupun kehidupan sering diuji.

“Saya sedar dunia hanya sementara. Saya tahu saya hanya di sini sebagai pinjaman Allah. Reda apa sahaja yang terjadi dalam hidup saya dan bersyukur kerana percaya Allah sayang saya.

“Ingat hidup tidak selalunya indah, sayang. Kita pasti akan diuji. Pegang teguh pada agama dan Al-Quran. Pandangan orang lain itu tidak penting, kita senyum dan ucaplah alhamdulillah,” jelasnya lagi.

Rebecca sebelum ini melalui episod kehidupan yang mencabar apabila rumah tangganya bersama Datuk Nur Azman Sulaiman berakhir selepas 18 tahun berkongsi hidup.

Mereka dikurniakan enam cahaya mata dan turut membesarkan anak angkat, Nor Adam Daniel.

Rebecca kini giat mengatur masa antara kerjaya lakonan, keluarga dan mengejar ilmu, membuktikan usia dan cabaran bukan halangan untuk terus maju.

Sambil menamatkan pengajian, dia berharap kisahnya menjadi motivasi kepada ibu bapa dan individu yang masih berusaha mengejar pendidikan atau impian hidup mereka.

“Tidak kira apa jua cabaran, jika kita berusaha, Allah akan buka jalan. Syukur dan redha itu kunci,” tambah Rebecca.

Related post

Leave a Reply