Ramai Suami Orang Cuba Dekati, Amelina Segera Angkat Kaki

Ramai Suami Orang Cuba Dekati, Amelina Segera Angkat Kaki

Penyanyi dangdut, Amelina, 51, mendedahkan dirinya sering didekati lelaki berstatus suami orang sepanjang bergelar ibu tunggal sejak lebih 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin memilih untuk tidak melayan demi menjaga maruah serta mengelakkan daripada meruntuhkan rumah tangga orang lain.

Amelina berkata meskipun tidak menutup pintu hati, dia lebih rela mengundur diri sebaik menyedari seseorang itu sudah berkeluarga.

“Ramai yang cuba dekati saya, terutama suami orang. Walaupun ada rupa dan kedudukan kewangan yang stabil, saya tetap tarik ‘handbreak’ sebab tak mahu timbul masalah di kemudian hari.

“Ada juga duda dan lelaki bujang yang cuba berkenalan, tapi mungkin cara mereka tidak kena atau langsung tidak menyentuh hati saya.

“Saya pula jenis manja, jadi bila mula berkawan, tiba-tiba perasaan itu cepat hilang,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millennial Dangdut Nusantara’.

Menurut ibu kepada enam cahaya mata itu, hidup bersendirian sudah menjadi kebiasaan sehingga dia tidak lagi berasa terdesak untuk mencari pasangan baru.

“Sejak kembali aktif dalam industri selepas hampir sedekad ‘menghilang’, tumpuan saya hanya untuk anak-anak. Bila mereka sudah dewasa, datang pula rasa segan dan rendah diri.

“Anak-anak pernah beri ‘green light’ untuk saya berkawan semula, tapi saya sendiri tak pandai nak mengurat, malah tidak terlalu fikir soal berumah tangga,” ujarnya lagi.

Berkongsi mengenai konsert, Amelina meluahkan rasa teruja diberi peluang tampil sepentas dengan bintang dangdut tersohor Indonesia, Inul Daratista di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 6 Disember depan.

“Inul bukan sahaja terkenal di Indonesia tetapi juga di Malaysia. Dapat bersama dengannya di pentas pastinya satu penghormatan besar buat saya.

“Kami sudah lama berkawan, dan secara tak langsung ini juga jadi ruang mempromosikan dangdut Malaysia yang ada keunikan tersendiri berbanding dangdut Indonesia,” katanya lagi.

Konsert tersebut turut menampilkan penyanyi sensasi Baby Shima.

Untuk rekod, Amelina pernah berkahwin dengan Reduan Mahamood pada 26 April 1999 namun rumah tangga itu berakhir selepas 16 tahun.

Related post

Leave a Reply