Rakaman CCTV Bekas Presiden Korea Selatan Hanya Berseluar Dalam Ketika Ditahan Tersebar

Rakaman CCTV Bekas Presiden Korea Selatan Hanya Berseluar Dalam Ketika Ditahan Tersebar

Sepotong video berdurasi 19 saat, dipercayai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memperlihatkan bekas presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol yang berseluar dalam semasa penahanannya, kini tersebar di internet.

Rakaman berjudul Leaked Video of Yoon Suk Yeol in Detention itu memperlihatkan seorang lelaki berkot berdiri bersama seorang pegawai penjara di luar sebuah sel kurungan bersendirian, sementara di dalamnya kelihatan seorang lelaki mirip bekas presiden tersebut mengintai keluar. Namun, wajah individu itu tidak dapat dilihat dengan jelas kerana kualiti video yang rendah.

Video berkenaan dilaporkan bocor pada 1 September ketika ahli Jawatankuasa Perundangan dan Kehakiman Parlimen meneliti rakaman CCTV serta dokumen berhubung pelaksanaan waran tangkap terhadap Yoon. Ahli jawatankuasa mendakwa Yoon melakukan tentangan pada kedua-dua cubaan penahanan, ketika hanya memakai pakaian dalam.

Sesi itu secara tidak sengaja disiarkan oleh sebuah platform media apabila rakaman terbabit dipaparkan dalam perbincangan jawatankuasa, sebelum ia segera tersebar di YouTube dan media sosial lain.

Pada hari sama, ahli jawatankuasa tersebut turut melakukan pemeriksaan di Pusat Tahanan Seoul di Uiwang, Wilayah Gyeonggi, untuk meneliti rakaman CCTV proses pelaksanaan waran tangkap.

Ahli Parlimen Parti Demokratik, Kim Yong Min, yang juga setiausaha parti dalam jawatankuasa itu berkata selepas menonton rakaman:

“Dalam cubaan pertama melaksanakan waran, bekas presiden Yoon baring dengan hanya berbaju dalam sambil melawan kuat dan berkata: ‘Kamu tidak boleh gunakan kekerasan terhadap saya.’ Dia enggan patuh, menuntut untuk tidak disentuh, meminta bertemu peguam, dan bercakap dengan nada mencabar.

“Dalam cubaan kedua, dia masih berbaju dalam, duduk sambil membaca sesuatu yang kelihatan seperti Bible, sekali lagi enggan memberi kerjasama. Apabila pegawai penjara memintanya berpakaian, dia menjawab, ‘Kalau saya enggan, bagaimana kamu mahu laksanakan waran?’ sambil terus melawan,” katanya.

Kim menegaskan: “Rakaman itu tidak menunjukkan sebarang salah laku daripada pihak pendakwa khas, sebaliknya memperlihatkan tentangan berulang dan sengaja oleh Yoon terhadap penguatkuasaan undang-undang yang sah,” katanya lagi.

Rakaman video yang tersebar mengundang perhatian ramai.

Seorang lagi ahli Parlimen Parti Demokratik, Seo Young Kyo, turut mengeluarkan kenyataan: “Ketika pendakwa khas hadir untuk melaksanakan waran dan membuka pintu, Yoon langsung tidak berbaju, hanya memakai pakaian dalam di bahagian bawah.

“Melihat dalang pemberontakan masih bertindak seperti ketua di pusat tahanan, mempermainkan undang-undang sesuka hati, adalah gambaran jelas sikap tidak menghormati undang-undang,” kongsinya.

Sebagai tindak balas, pasukan guaman Yoon segera mengeluarkan kenyataan:

“Tindakan ini melanggar Akta Pelaksanaan Hukuman, Akta Pendedahan Maklumat, dan Akta Perlindungan Maklumat Peribadi. Rakaman CCTV hanya boleh digunakan dalam skop minimum untuk mengawasi banduan atau fasiliti. Ia tidak boleh digunakan atau diakses untuk tujuan lain seperti memberi keistimewaan atau menghalang siasatan, seperti yang didakwa Parlimen.

“Rakaman CCTV dalam fasiliti koreksional tertakluk pada prinsip tidak boleh didedahkan, demi melindungi hak asasi banduan serta mengelakkan risiko keselamatan jika susun atur dalaman atau sistem kawalan terbongkar. Kesahihan penahanan adalah urusan badan kehakiman, bukan ‘hak untuk tahu’ masyarakat. Bagi Parlimen, yang bukan badan penyiasat atau mahkamah, untuk menuntut akses adalah sama seperti menghalalkan pencabulan undang-undang demi politik,” kata kenyataan itu.

Sumber: ALLKPOP

Related post

Leave a Reply