Polis akan memanggil dua lagi individu sebagai saksi bagi melengkapkan siasatan kes membabitkan penyanyi Shila Amzah dan legenda rock tanah air, Datuk Amy Search.
Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, kertas siasatan kes berkenaan telah pun dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kuala Lumpur sebelum dirujuk pula ke pejabat TPR Putrajaya.
“Kita telah menerima semula kertas siasatan itu. Ia juga selari dengan laporan yang dibuat oleh Datuk Amy.
“Buat masa ini, kita akan ambil lagi keterangan daripada dua saksi untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada Isnin.
Terdahulu, Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 35, meluahkan rasa kecewa dan trauma di Instagram berikutan satu insiden yang berlaku secara terbuka di hadapan kru produksi ketika sesi latihan sebuah konsert.
Susulan itu, Shila tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 10 Julai lalu.
Siasatan awal mendapati konflik dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati Datuk Amy terhadap tindakan Shila yang didakwa mencampuri urusan keluarganya.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.