Pernah Keguguran, Puteri Khareeza Terpaksa Rahsiakan Kehamilan

Pelakon dan penyanyi, Puteri Khareeza, 27, mempunyai sebab tersendiri menyembunyikan kehamilan dan hanya mengumumkan kepada umum selepas kandungan memasuki usia enam bulan.

Menurut pemilik nama lengkap Puteri Aszfaryna Khareeza Arif, keputusan untuk tidak berkongsi berita kehamilan lebih awal kerana dirinya pernah mengalami keguguran pada Disember tahun lalu.

“Saya keguguran Disember lalu, ketika kandungan baru berusia tujuh minggu. Disebabkan itu, kali ini saya dan suami ambil keputusan untuk simpan dulu berita kehamilan.

“Sekarang dah tak boleh sembunyi sebab perut makin besar dan saya pun dah mula rasa mengah. Ramai yang perasan dan tanya, jadi saya beritahulah” katanya yang ditemui pada satu sidang media.

Bintang drama Kerana Cinta Itu Ada turut mengakui pada awal kehamilan, dia langsung tidak mengalami alahan teruk.

“Alhamdulillah, dari trimester pertama saya tiada morning sickness, tak muntah-muntah. Saya tahu hamil pun sebab lewat datang bulan dan terus buat ujian kehamilan,” ujarnya.

Menariknya, Khareeza turut mendedahkan bahawa dia dan suami sudah mengetahui jantina bayi mereka, namun memilih untuk merahsiakan perkara itu buat masa ini.

“Insya-Allah nanti bila dah bersedia, kami akan kongsi. Buat masa sekarang, biarlah kami nikmati fasa ini dengan tenang dahulu,” luahnya penuh teruja.

Untuk info, Puteri Khareeza dan suami, Mohd Shukor Khamaruddin mendirikan rumah tangga pada 24 Februari 2024.

Related post

Leave a Reply