Penyanyi & Pelakon Ditemui Mati Bersama Ibu

Penyanyi dan pelakon Sivakumar Jayabalan ditemukan maut bersama ibunya  di sebuah kondominium di Taman Desa Petaling, Cheras, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang berusia 48 dan 76 tahun itu dipercayai terjatuh dari tingkat 11 bangunan tersebut. 

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.35 tengah hari. Setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah dikenal pasti namun siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Menurut laporan tersebut lagi, mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk proses bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran dengan segera bagi membantu siasatan.

Sivakumar mula mencipta nama menerusi program nyanyian realiti Astro Paadal Thiran pada tahun 2006 dan kemudiannya turut aktif sebagai pengacara.

Mendiang pernah mendirikan rumah tangga namun perkahwinan itu tidak berkekalan. Hasil perkahwinan tersebut, mendiang dikurniakan seorang anak lelaki.

Related post

Leave a Reply