Pengisian Lebih Menarik & Dinamik, TVS Umum Kandungan Istimewa 2026

Bagi terus memberikan yang terbaik dan menyajikan program bermutu buat penonton, TVS terus memperkukuh komitmennya sebagai penyiar nasional yang dinamik dengan memperkenalkan beberapa program menarik yang akan ditayangkan sepanjang 2026.
Langkah ini mencerminkan usaha berterusan TVS dalam menyajikan kandungan berkualiti tinggi hasil kolaborasi strategik bersama penggiat seni dan kreatif tempatan, di samping mengetengahkan jalan cerita menarik serta barisan pelakon berkaliber.
Menurut Ketua Saluran TVS, Mohd Aizal Ibrahim, pengenalan kandungan terbaru tahun ini merupakan sebahagian daripada perancangan strategik TVS untuk menawarkan rancangan yang segar, relevan dan dekat di hati penonton pelbagai lapisan masyarakat.
“TVS sentiasa komited untuk membawakan kandungan yang bukan sahaja menghiburkan, malah bermakna sebagai medium penceritaan yang mencerminkan realiti, nilai kekeluargaan serta kepelbagaian budaya masyarakat,” katanya sempena sidang media Rancangan TVS 2026 baru-baru ini.
Antara kandungan utama yang diumumkan ialah drama ikonik Gerak Khas 2.0, yang bakal bersiaran mulai 23 April ini. Diterajui oleh Datuk Yusof Haslam, drama ini mengembalikan francais popular tersebut dengan jalan cerita yang lebih banyak aksi dan mencabar.
TVS turut memperkenalkan drama Siti in the City yang akan mula bersiaran pada 21 April hadapan. Dibintangi oleh Sweet Qismina, Adam Lee, Puteri Aisyah, Ameer Dawi, Sharifah Zarina dan Michelle Lungan, drama ini mengangkat kisah kehidupan urban moden dengan sentuhan emosi dan realistik.
Selain itu, drama Halalkan Aku, yang menampilkan Nafiz Muaz, Aniq Durar, Jihaa Sham, Lana Nodin dan Nik Rifaie, yang mengupas konflik keluarga dan perkahwinan tanpa rela turut diperkenalkan. Drama ini akan bersiaran pada Jun hadapan.

TVS juga membawakan drama bersiri Boneka, dibintangi oleh Atiq Azman, Marc Benji, Nafiez Zaidi, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Aleeza Kasim, Sera Melissa, Nina Smith dan Rahim Jailani.
Manakala drama The Trap, menampilkan Shaza Bae, Aidit Noh, Ali Reza dan Fian Ali, yang dijangkamenarik perhatian penonton menerusi kisah taktik penipuan siber dan jenayah dalam talian.
Bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri, TVS turut memperkenalkan program khas di bawah jenama Pesta Raya TVS yang diserikan dengan pelbagai program menarik.
Antara program tersebut termasuklah 3 Mak Dara, Inspirasi Duniamu & Pesta Raya, Istimewa Anggun: Seri Aidilfitri, filem pendek (Raya Paling Epik) dan sebuah turut diperkenalkan lagu Raya Paling Epik yang dijadikan lagu tema tahun ini.
Menurut Aizal lagi, sejumlah program khas ini dirangka untuk mengukuhkan nilai kekeluargaan dan kebersamaan yang menjadi teras sambutan Aidilfitri.
“Menerusi Pesta Raya dan program khas ini, TVS berhasrat untuk terus menjadi platform yang menyatukan keluarga dan komuniti, di samping memberi ruang kepada bakat kreatif tempatan untuk terus diketengahkan,” katanya.
TVS akan terus memperkukuh peranannya sebagai penyiar nasional dengan menampilkan kandungan tempatan berkualiti tinggi, memperluas kerjasama strategik industri serta memanfaatkan platform televisyen dan digital secara menyeluruh demi memenuhi keperluan penonton masa kini.



