Pempengaruh Selar Guru Muat Naik Jawapan Murid Di Media Sosial

Pempengaruh dan selebriti media sosial, Zhiddin Aziz membidas tidak bersetuju dengan tindakan segelintir guru, yang memuat naik kertas jawapan ujian murid-murid sehingga mengundang kritikan netizen.

Zhiddin menjelaskan, generasi yang dilabel sebagai generasi Z dan Alfa itu tidak sepatutnya dianggap lemah, memandangkan ia turut berlaku pada generasi terdahulu.

“Murid dianggap lemah dalam memberikan jawapan, walhal itu adalah perkara lumrah. Generasi terdahulu juga pernah melakukannya, cuma bezanya, ia tidak dimuat naik ke media sosial.

“Apa yang membezakan generasi sebelum ini hanyalah tiada guru yang menularkan perkara sedemikian.

“Saya berpendapat, perkara ini sepatutnya diselesaikan dalam bilik darjah sahaja bagi mengelakkan ia berulang. Jika tidak, pelajar akan berasa bangga melakukannya,” katanya.

Melanjutkan hujah, Zhiddin berkata, netizen tidak mendidik tetapi lebih kepada mengkritik.

“Kalau mahu ikutkan pada zaman saya lebih banyak kelas tambahan dan ujian memaksa untuk kita bertahan. Jadi, kalau mahu buat perbandingan, boleh dikatakan zaman mereka lebih kuat kerana perlu hidup dan hadap bermacam godaan,” katanya.

Zhiddin berkata, nasihat berkenaan bukan untuk meluahkan kemarahan terhadap sesiapa tetapi lebih kepada menzahirkan rasa bimbang jika generasi kini benar-benar menjadi lemah seperti yang dilabel oleh banyak orang.

Related post

Leave a Reply