Pemilik rangkaian burger bertemakan Donald Trump di Texas berdepan pengusiran selepas ditahan oleh pegawai Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE).
Menurut New York Post, visa pelancong Roland Beainy yang berasal dari Lubnan didapati telah melebihi tempoh bukan imigran yang tamat pada Februari 2024. Dia tiba pada 2019 dan membuka cawangan pertama rangkaiannya pada 2020.
Satu video yang dimuat naik oleh rangkaian itu pada 5 Julai menunjukkan seorang peniru gaya Trump di sebuah cawangan membuat gurauan dengan meminta pelanggan menunjukkan kad hijau mereka.
Menjawab pertanyaan media, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (DHS) berkata: “Di bawah pentadbiran semasa, ICE komited untuk memulihkan integriti sistem imigresen negara kami dengan memastikan semua individu yang memasuki negara ini secara haram atau melebihi tempoh kemasukan mereka bertanggungjawab sepenuhnya.
“Hal Ini terpakai tanpa mengira restoran yang anda miliki atau pendirian politik anda,” katanya.
Akhbar Houston Chronicle memetik DHS yang turut mendakwa Beainy telah cuba mendapatkan status sah melalui perkahwinan. Namun, jabatan itu berkata tiada bukti Beainy tinggal bersama wanita tersebut sepanjang tempoh perkahwinan.
Permohonan status imigresennya turut dibatalkan selepas ahli keluarganya sendiri mengakui bahawa perkahwinan itu adalah “perkahwinan palsu untuk memperdaya sistem”, tambah DHS.
Mereka turut menegaskan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mempunyai toleransi sifar terhadap penipuan imigresen dan dakwaan individu ini adalah tidak berasas.
“Individu ini tiada Kad Hijau, mempunyai rekod perkahwinan palsu dan satu tuduhan serangan. DHS sedang mengusahakan semua saluran undang-undang untuk menangani penyalahgunaan terang-terangan terhadap undang-undang imigresen negara ini,” katanya lagi.
Sumber: Mothership