TheaterUncategorized

Pementasan Di Gelanggang Futsal, Budak Bola : Sorak! Bawa Kelainan

Di sebuah gelanggang futsal flat, Budi, remaja 16 tahun yang berbakat, bermain bola dengan harapan untuk keluar dari kehidupan sempit yang dia kenal sejak kecil.

Namun, apabila impiannya untuk mewakili sekolah gagal, dia mula terpengaruh dengan Zul seorang bookie yang mengawal perlawanan dan menjadikan bola sepak sebagai sumber keuntungan.

Budi mula menang, dihormati dan diberi kuasa. Tetapi semakin jauh dia melangkah, semakin kabur tujuan asalnya bermain.

Apabila kepercayaan bertukar menjadi pengkhianatan, satu perlawanan besar menjadi penentu bukan sahaja tentang kemenangan, tetapi tentang harga diri.

Mengambil inspirasi daripada kisah tersebut pementasan teater jalanan yang berlangsung di gelanggang futsal Flat Puchong Permai bakal dipersembahkan menerusi Budak Bola: Sorak!

Teater yang diadaptasi dari dunia filem Budak Bola digarap berbeza daripada kebiasaan, penuh inspirasi dan latar yang baharu bagi dunia teater tanah air.

Berbeza dengan pementasan konvensional, Budak Bola: Sorak! tidak berlangsung di dalam panggung teater, tetapi dipentaskan sepenuhnya di gelanggang futsal sebenar di kawasan perumahan flat. 

Pendekatan ini membawa penonton terus ke dalam dunia cerita dikelilingi sorakan, gendang dan pergerakan pemain yang berlaku secara langsung di hadapan mereka.

Pendekatan ini bukan sekadar eksperimen ruang, tetapi satu usaha untuk membawa teater kembali kepada masyarakat di tempat di mana cerita ini benar-benar berlaku.

“Kami mahu membawa cerita ini kembali ke komuniti. Penonton bukan sekadar melihat, tetapi berada dalam dunia yang sama,” kata pengarah, Syafiq Syazim.

Pementasan ini diarahkan oleh Syafiq Syazim, seorang pengarah teater yang dikenali dengan pendekatan kontemporari dan eksperimental. 

Karya ini ditulis oleh Zaidy Zainudin (Penaputeh), seorang penulis skrip dan penerbit televisyen yang banyak mengangkat realiti masyarakat dalam karyanya.

Watak utama Budi dibawakan oleh Merah Muhaimin, seorang pelakon remaja yang sedang meningkat naik di skrin dan juga pentas. Beliau juga pernah muncul dalam filem Abah Saya Uncle Mike serta beberapa produksi televisyen tempatan.

Budak Bola: Sorak! akan dipentaskan pada 18 dan 19 April 2026, jam 8.30 malam di Gelanggang Futsal, Flat Puchong Permai, Selangor. 

Tiket dijual pada harga RM50 (biasa), RM25 (pelajar, warga emas & OKU) serta pakej korporat RM1,000 (20 tiket).

Orang ramai dijemput hadir untuk merasai pengalaman menonton teater yang berbeza, lebih dekat, secara langsung di dalam sebuah gelanggang futsal yang mengangkat kisah sukan kesukaan rakyat Malaysia serta cerminan realiti kehidupan komuniti flat.

Layari https://www.cloudjoi.com/shows/5312-budak-bola-sorak untuk pembelian tiket secara online.

Related Articles

Back to top button