Sepasang pelancong dari United Kingdom menzahirkan rasa teruja ketika mencuba pengangkutan awam MRT ketika bercuti di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, pasangan tersebut turut membuat perbandingan antara sistem MRT di sini dengan tempat asalnya.
“Sejak awal lagi kami membandingkan setiap aspek sistem baharu ini dengan kereta api bawah tanah London yang terkenal, namun sudah ketinggalan zaman,” kata mereka.
Perjalanan mereka dengan MRT bermula dengan satu kejutan yang menyenangkan iaitu dengan teknologi moden di mana-mana. Skrin dalam setiap gerabak memaparkan keseluruhan laluan tren beserta stesen seterusnya, menjadikan navigasi jauh lebih mudah berbanding di London.
Hal ini menyebabkan mereka menyedari ciri-ciri mesra penumpang yang lain, seperti gerabak khas untuk wanita yang menurut mereka langsung tidak wujud dalam sistem London Underground.
Sementara frasa ‘Mind the gap’ tidak dapat dielakkan bagi penumpang di London, jurang yang minimum serta pintu penghadang di platform MRT membolehkan mereka turun naik tren tanpa rasa bimbang tentang keselamatan.
Bagi pasangan berkenaan, ia bukan sekadar soal reka bentuk, tetapi juga kebolehpercayaan.
Begitupun, pengalaman mereka dengan MRT tidaklah sempurna sepenuhnya. Ketika membeli tiket, mereka mendapati prosesnya kurang mesra pengguna. Tidak seperti di London, di mana penumpang hanya perlu ‘tap’ kad bank tanpa sentuh, di Kuala Lumpur, mereka terpaksa menggunakan mesin tiket untuk mendapatkan token.
Beberapa mesin malah menolak wang tunai yang mereka cuba gunakan, menambahkan lagi kesulitan.
Walaupun kad Touch ‘n Go di Malaysia menawarkan fungsi yang serupa dengan kad Oyster di London, mereka tidak sempat mendapatkannya sebelum perjalanan, yang pastinya akan memudahkan urusan.
Namun, pasangan itu bersetuju bahawa kadar tambang MRT adalah kelebihan besar, kira-kira separuh daripada harga yang mereka bayar di London.
Mereka juga terpegun dengan tahap kebersihan dan penyelenggaraan tren serta stesen yang jauh melebihi jangkaan.
Akhir sekali, perkara yang mereka anggap sebagai bonus adalah keselesaan utama, dengan pendingin hawa di setiap gerabak.
Di London, hanya segelintir tren bawah tanah yang memiliki fungsi tersebut kerana menyejukkan terowong boleh menyebabkan platform menjadi terlalu panas.
Sebagai kesimpulan, pasangan itu tidak ragu lagi yang MRT Malaysia bukan sahaja setanding dengan London Underground, malah dalam banyak aspek, ia jauh lebih baik.