
Pelakon Lelaki Cabar Harris Alif Bertinju Tarik Diri Saat Akhir
Pelakon dan penyanyi, Harris Alif, 26, membuka lembaran baru dalam hidupnya apabila membuat keputusan menyertai sukan tinju secara serius.
Menurut pemilik nama penuh Nor Harris Alif Nor Rashidi, penglibatan dalam kejohanan All Star Championship 2025 bukan sekadar mencuba nasib, sebaliknya menjadi platform untuk menimba pengalaman baharu di luar dunia seni.
“Saya memang sudah lama teringin untuk sertai kejohanan tinju, tapi belum pernah ada peluang. Jadi tahun ini langkah pertama saya untuk betul-betul serius.
“Selain minat, kejohanan ini juga menawarkan hadiah lumayan. Jadi ini juga salah satu cara saya berusaha mencari rezeki untuk keluarga kecil saya,” katanya.
Suami kepada pelakon Intan Ladyana itu turut mendedahkan kisah seorang aktor yang sebelum ini mencabarnya untuk berlawan, namun akhirnya menarik diri pada saat akhir.
“Dia ajak saya, tapi bila sampai masa nak tandatangan kontrak, terus hilang. Kalau betul berani, sepatutnya jangan undur diri.
“Isu ini sebenarnya belum selesai. Saya akan cuba cari jalan, mungkin melalui penganjur, untuk tetap adakan perlawanan secara profesional.
“Bila dia tarik diri, nampaklah sebenarnya hanya pandai bercakap tetapi tak berani berdepan,” ujarnya.
Harris sebelum ini pernah menjelaskan, keterlibatannya dalam arena tinju turut dipengaruhi rasa kecewa apabila seorang aktor menghina ahli keluarganya. Namun, dia memilih untuk tidak mendedahkan identiti individu berkenaan.