Pelakon Cilik Didakwa Jadi Mangsa Gangguan Seksual Penyanyi Irama Malaysia

Ibu kepada pelakon cilik, Mikael Noah iaitu Salzelin Osman mendakwa anaknya menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang penyanyi lelaki yang terkenal dengan genre Irama Malaysia.

Dalam pendedahan yang dibuat menerusi mesej peribadi kepada Caprice, Salzelin mendakwa anaknya menerima mesej berunsur lucah daripada penyanyi tersebut melalui aplikasi WhatsApp dan turut mendakwa berlaku perbuatan ‘sexual grooming’.

“Mikael memang tak selesa bila terima mesej bukan-bukan. Tapi dia sudah dibasuh minda kononnya semua itu tanda sayang. Jadi dia pun balas, walaupun dalam keadaan tak selesa,” kata Salzelin.

Caprice tidak berdiam diri dan segera memuat naik hantaran di Instagram, mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

“Salam PDRM, sila angkut orang ini. This grooming took place on WhatsApp, harap ada tindakan segera demi keselamatan anak-anak kita,” tulis Caprice.

Salzelin turut mengesahkan bahawa dia telah membuat laporan polis pada 21 Julai 2025 berhubung dakwaan gangguan seksual yang melibatkan anaknya.

Menurutnya, penyanyi itu mempengaruhi Mikael dengan mengatakan bahawa perbuatan tersebut adalah normal dan tanda kasih sayang.

Lebih mengejutkan, Salzelin turut mendakwa bahawa isteri kepada penyanyi terbabit didakwa menyebelahi perbuatan suaminya, walaupun ia melibatkan seorang kanak-kanak.

“Saya tak sangka seorang isteri boleh tutup mata pada perbuatan sebegitu. Ini bukan hal remeh. Ini soal keselamatan anak-anak,” katanya.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kes ini.

Related post

Leave a Reply