Seorang pelajar kolej dari Malaysia berkongsi tentang satu hal yang menghantui dirinya. Menerusi hantaran yang dibuat di Reddit, pelajar itu mendakwa yang dia sering dicemuh oleh rakan-rakan kerana masih mengguna telefon pintar Android.
Menerusi hantarannya, dia menggunakan telefon pintar itu sejak empat tahun lalu. Sungguhpun ia masih boleh digunakan, namun, telefonnya menjadi bahan gelak rakan sebaya.
“Semalam seseorang memandang rendah terhadap saya sebab menggunakan telefon Android di kolej.
“Semua orang menggunakan telefon bimbit jenis iPhone, sampaikan saya bimbang untuk mengeluarkan telefon saya ketika berada di khalayak ramai. Saya juga pernah dicemuh kerana kualiti kamera yang sangat buruk,” katanya.
Dia menambah, dia merasakan dirinya berada di kelas berbeza semata-mata mengguna telefon bimbit Android.
“Saya seperti dilayan dengan layanan berbeza sebab telefon yang saya guna. Mereka rasa mereka lebih baik daripada saya sebab guna produk daripada Apple,” katanya lagi.
Tambah pelajar itu, duit bantuan bakal diterima tidak lama lagi, dan dia merasakan yang rakan sekelasnya akan membeli telefon bimbit baharu dengan wang berkenaan.
“Sejujurnya, saya tidak mahu gunakan duit itu untuk beli telefon baharu sebab saya ada tanggungjawab lain. Rasa macam membazir semata-mata untuk rasa disukai,” luahnya lagi.
Sumber: Reddit, Weirdkaya