Pekerja Ladang Nepal Parah Diserang Gajah Liar Di Gua Musang
Seorang pekerja ladang warga Nepal cedera parah namun bernasib baik kerana masih hidup selepas diserang seekor gajah liar di Kelantan baru-baru ini.
Menurut laporan NST, kejadian berlaku di Ladang Metro Blau, Pos Blau sekitar jam 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal pulang ke rumah pekerja sebelum ternampak kesan tapak kaki gajah lalu berhenti untuk melihat.
“Tiba-tiba seekor gajah liar muncul dan menyambar mangsa dengan belalainya sebelum menyeretnya kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
“Gajah itu kemudian memijak mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah,” katanya.
Beberapa pekerja lain menemui mangsa sebelum membawanya ke Hospital Gua Musang untuk rawatan awal. Mangsa akan dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.
Sik turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi mengenai kes tersebut dan menghormati privasi mangsa.
