Pasport Malaysia No.3 Dunia, Setanding Jerman & Korea Selatan
Rakyat Malaysia kini secara rasmi berada dalam kelompok pemegang pasport paling berkuasa di dunia selepas menduduki tempat ketiga dalam Ranking Global Passport Index 2025.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengumumkan pencapaian itu di platform media sosial rasminya, menyifatkannya sebagai cerminan keyakinan dunia terhadap keselamatan dan kualiti dokumen perjalanan Malaysia.
JIM menambah, reputasi antarabangsa Malaysia yang kukuh turut menyumbang kepada peningkatan ranking tersebut.
Menurut JIM, pemegang pasport Malaysia kini boleh melancong tanpa visa ke 121 negara, menjadikan jumlah skor mobiliti keseluruhan sebanyak 174 destinasi apabila termasuk akses visa on arrival dan electronic travel authorisation (eTA).
Berdasarkan data rasmi laman web Passport Index, Malaysia berkongsi kedudukan ketiga bersama 15 negara berpengaruh lain seperti Jerman, Perancis dan Korea Selatan.
Tempat pertama diduduki oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), manakala Singapura dan Sepanyol berkongsi kedudukan di tangga kedua.
Berdasarkan papan pemuka 2025, kekuatan pasport Malaysia disokong oleh beberapa metrik utama:
-Akses tanpa visa: 121 negara
-Visa semasa ketibaan: 46 negara
-Kebenaran perjalanan elektronik (eTA): 7 negara
-Perlu visa: 24 negara
-Liputan global: 87 peratus
Hal ini bermakna, rakyat Malaysia menikmati kebebasan perjalanan yang luas ke seluruh dunia, menjadikan pasport Malaysia antara yang paling dipercayai dan diidamkan di peringkat antarabangsa.
